KUALA LUMPUR – Meski bakal sibuk dengan sesi latihan, penyanyi Ara Johari tidak menolak sebarang tawaran nyanyian lain sepanjang menyertai program realiti Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 27, berkata, jadual seninya tetap padat dengan tawaran persembahan lain.
“Tak tolak! Esok ada persembahan, lusa pun ada tapi sebelah siang,” katanya ketika ditemui selepas Showcase Sedekad Bersuara yang berlangsung di Ampang di sini, semalam.
Mengulas mengenai penyertaannya dalam GV Fantasia, dia mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai antara peserta yang berjaya melayakkan diri ke kerusi hot seat bersama tiga lagi peserta lain.
“Cuma saya agak takut juga sebab perlu bersaing dengan senior yang mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya baru 10 tahun dalam industri, mungkin mereka sudah 20 tahun atau belasan tahun.
“Apa yang saya sentiasa ingatkan diri sendiri adalah untuk menikmati pertandingan ini.
“Tersingkir atau menang kalah itu adat pertandingan. Apa pun berlaku, saya hanya mahu menikmati persembahan,” katanya lagi.
Bersedia menerima sebarang kritikan juri, Ara berpendapat GV Fantasia masih diperlukan oleh seseorang anak seni meskipun sudah mempunyai nama dan pengalaman luas dalam industri hiburan.
Jelasnya, pertandingan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada penyanyi untuk terus kekal relevan, malah menjadi ruang menimba ilmu serta memperbaiki mutu persembahan.
“Walaupun kita sudah ada banyak pengalaman, kita masih memerlukan platform seperti ini untuk kekal relevan.
“Rating GV juga sangat tinggi dan menyertai GV Fantasia sebenarnya satu impian untuk saya kerana berpeluang bertanding dengan mereka yang pernah bergelar juara.
“Pada masa sama, saya memang takut juga, tetapi anggap ini sebagai satu pembelajaran. Selepas sedekad berada dalam industri menerusi perjalanan Sedekad Bersuara, saya rasa seperti kembali kepada suasana Akademi Fantasia,” jelasnya.
Selain Ara, peserta lain yang berjaya meraih undian tertinggi peminat sekali gus melayakkan diri ke GV Fantasia ialah Akim Ahmad, Felix dan Farah Anuar.
Mereka bakal bersaing dengan sembilan lagi peserta yang diumumkan lebih awal iaitu Mawi (AF3), Vince (AF1), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Mila Jirin (AF5), Stacy (AF6), Zahid (AF2), Faizul Sany (AF10) dan Firman Bansir (AF11). – KOSMO! ONLINE














