PETALING JAYA – Hubungan persahabatan yang terputus sejak 15 tahun lalu akhirnya bertaut kembali apabila dua sahabat karib dipertemukan semula ketika sama-sama menghadiri Konsert My Chemical Romance (MCR) Live In Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Menurut Sofiah Idrus, 36, dia berasa terkejut dan teruja selepas tersempak dengan kawan karibnya dikenali sebagai Diana ketika sama-sama sedang menunggu umtuk masuk ke dalam stadium.
Katanya, kali terakhir kedua-dua mereka berjumpa ialah pada 15 tahun lalu ketika sama-sama berlajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George di Pulau Pinang.
“Sebenarnya semalam saya tengah kelam kabut mencari jurumekap (MUA) saya dan tiba-tiba saya terlihat kelibat Diana dalam suasana ramai orang itu.
“Semuanya berlaku secara kebetulan dan atas sebab itu dalam video terlihat saya terlompat-lompat kegembiraan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Katanya, kedua-dua mereka merupakan peminat tegar MCR sejak di bangku sekolah dan peluang untuk bertemu kembali di Bukit Jalil merupakan kenangan indah buatnya.
Terdahulu, Sofiah berkongsi video berjumpa Diana menerusi aplikasi Threads dengan rata-rata pengguna menyifatkan pertemuan itu sebagai sesuatu yang menarik dan dianggap ‘comel’.
“Comelnya, saya harap saya boleh berjumpa kawan karib saya dari sekolah menengah juga. Kami sangat rapat dan dia adalah kawan terbaik. Kami tidak pernah bergaduh, tapi malangnya kami telah terputus hubungan,” kata @aliaimnn.
“Rasa muda balik kan, sangat teruja untuk melihat ini (pertemuan dua sahabat),” kata @zul.ibrahimz.
“Seronok pergi konsert artis yang taraf geng ‘millennials’, kadang jadi edisi terjumpa kawan lama,” jelas @cashdepositm. -KOSMO! ONLINE














