DUA minggu sibuk memerah keringat menawan puncak Gunung Ledang, Aisha Retno dan Aqasha sekali lagi mencairkan hati peminat dengan alunan vokal merdu menerusi lagu duet popular nyanyian asal Jason Mraz dan Colbie Caillat, Lucky.
Dua penyanyi itu memukau ramai apabila suara mereka dikatakan ‘secocok’ biar pun hanya menyanyi secara akustik diiringi muzik petikan gitar Aqasha.
“Misi sampingan Hang Tuah dan Gusti Puteri selain mendaki Gunung Ledang. Rehat seketika di kaki gunung bertemankan petikan gitar dan lagu dari Barat,” kata Aisha.
Gabungan suara gemersik Aisha dan nada garau romantik Aqasha membuatkan ruangan komen dibanjiri pujian peminat yang mahu mereka berdua tampil dengan sebuah lagu duet rasmi tidak lama lagi.
“Sedapnya gabungan suara mereka berdua ni, meremang bulu roma dengar, tolonglah keluarkan lagu duet bersama.
“Lepas sama-sama tawan Gunung Ledang, terus belanja lagu romantik pula, padan sangat suara Aisha dengan abang Aqasha,” usik netizen.














