EMPAT pasangan sejoli yang bukan sahaja membina karier selepas menyertai AF, mereka bahkan menemukan cinta yang menjadi haluan hidup sehingga kini.

AF berputiknya cinta, 4 sejoli ke mahligai bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu, empat nama bekas peserta Akademi Fantasia (AF) diumumkan menduduki kerusi panas Gegar Vaganza Fangtasia (GVF) iaitu Akim, Farah, Felix dan Ara Johari.
Selain keterujaan menantikan persembahan mereka, ramai juga seronok melihat gelagat romantik pasangan selebriti, Akim dan Stacy.

Sewaktu persembahan Stacy, Akim secara spontan muncul memberikan jambangan bunga buat isterinya sejurus selesai membawakan lagu Mewangi.

Malah, sewaktu Akim diumumkan sebagai peserta kerusi panas pula, Stacy tampil memeluk suaminya dari belakang, sekali gus mencuri tumpuan ramai yang teruja menyaksikan momen manis tersebut. Sempena dengan kehangatan tersebut, Gala menyenaraikan beberapa pasangan bekas bintang AF yang berjaya membawa hubungan cinta mereka dari pentas realiti hingga ke jenjang pelamin.

Khai, Rosma

BERTEMU dalam AF musim pertama (AF1), Khai dan Rosma membuktikan keserasian dalam program tersebut mampu membawa mereka ke jenjang pelamin.

Hubungan mereka mula rapat selepas beberapa minggu bersama di bawah bumbung AF1 hingga diangkat sebagai antara peserta paling akrab.  Hubungan persahabatan berkembang menjadi cinta sejati apabila mereka mendirikan rumah tangga pada April 2008.

Awal perkahwinan mereka penuh cabaran apabila pendapatan bergantung kepada bidang nyanyian. Khai atau nama penuhnya Mohammad Wahi, 47, pernah berkongsi bahawa Rosma tetap setia dan sederhana ketika hidup mereka sukar. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad Amzar Danish, Nur Amani Damia dan Nur Alya Dhania.

Rich, Velvet

PERTEMUAN dalam AF musim keempat (AF4) menjadi titik permulaan kepada perkenalan Rich dan Velvet.

Selepas mengenali hati budi masing-masing, mereka mengikat tali pertunangan pada Julai 2008 sebelum bernikah pada Disember tahun yang sama di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Sabah.

Pada mulanya, perkahwinan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan umum demi menjaga privasi serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap kerjaya seni Rich bersama kumpulan Estranged ketika itu.

Selepas berkahwin, pasangan ini memilih untuk menetap di kampung halaman di Sabah bagi membesarkan anak-anak mereka iaitu Joshua, Caroline, Keanu, dan Denika. Pada Ogos 2024, Velvet menafikan spekulasi perceraian yang tular selepas dia jarang berkongsi foto keluarga dalam media sosial. Dia menegaskan bahawa mereka masih bersama dan lebih selesa menyimpan hal peribadi demi ketenangan serta privasi keluarga.

Yazer, Ekin

MUNGKIN ada yang sudah lupa dengan kisah pasangan AF musim ketiga (AF3) ini, namun perjalanan cinta Yazer dan Ekin cukup membuktikan erti kesetiaan.

Selepas sembilan tahun menjalinkan hubungan cinta yang berputih dari dalam AF sejak 2005, mereka akhirnya disatukan pada Disember 2014.

Kisah percintaan mereka mencuri tumpuan pada 2013 apabila masing-masing membawa haluan sendiri.
Ekin atau nama lengkapnya Norashikin Abdul Rahman sendiri tidak menyangka jodoh mereka panjang biarpun pernah dilanda badai hingga nekad memutuskan hubungan yang sedia terjalin sejak sama berjuang dalam AF3.

Katanya, selepas putus cinta selama lima bulan, jiwa mereka berasa kosong dan saling memerlukan antara satu sama lain. Jodoh kuat, pasangan ini akhirnya bernikah dan kini bahagia membina keluarga bersama dua cahaya mata, Noah, 11, dan Bunga Medina, 2.

Akim, Stacy

MESKIPUN berbeza musim, hubungan percintaan Akim dan Stacy bermula apabila mereka kerap menjalinkan kerjasama. Selepas tiga tahun menjalinkan cinta, pemilik nama lengkap Afiq Hakim Ahmad akhirnya membuka mulut mengenai hubungannya dengan Stacy.

Menurut lelaki berusia 35 tahun itu, sepanjang berkawan dia melihat Stacy begitu cenderung mendalami Islam dan sering bertanya soalan tentang pelbagai perkara kepadanya.

Namun, Akim tidak pernah memaksa Stacy untuk memeluk agama Islam sebaliknya membiarkan perkara tersebut datang daripada keikhlasan hati wanita itu sendiri.

Akhirnya, Stacy memeluk Islam di pejabat Agama Johor Bahru pada 24 Ogos 2015 sebelum mereka mengikat pertunangan pada 26 September tahun sama. Pada 5 Februari 2016, Akim sah menjadi suami kepada pemilik nama lengkap Ummu Shaikhah Stacy Anam dan hubungan kekal hingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN