IPOH – Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dan membunuh seorang lelaki Orang Asli di Kampung Bawong di Sungai Siput dekat sini telah ditembak selepas haiwan liar itu menyerang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang menjalankan operasi pemantauan awal pagi semalam.
Menurut Perhilitan, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika kakitangannya menjalankan operasi kawalan dan pemantauan susulan insiden serangan harimau belang yang mengorbankan Allahyarham Ngah Itam, 65, kelmarin.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika kakitangannya menjalankan operasi kawalan dan pemantauan susulan insiden serangan harimau belang berkenaan.
“Tembakan dilepaskan dari jarak kira-kira 10 meter bagi mempertahankan diri serta mengelakkan ancaman terhadap keselamatan anggota.
“Tembakan berkenaan mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher harimau belang terbabit,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, haiwan buas itu kemudian melarikan diri sebelum berjaya dijejaki anggota Perhilitan.
“Karkas harimau berkenaan ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi serangan.
“Pemeriksaan fizikal awal mendapati taring bawah sebelah kiri harimau berkenaan telah tiada manakala taring yang masih ada didapati tumpul,” katanya.
Tambah Perhilitan, turut ditemukan kesan luka lama pada bahagian kanan perut haiwan berkenaan.














