KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengelirukan pengguna dengan menjual mangga import dari Indonesia menggunakan nama Harumanis Perlis.
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan, berkata kegiatan tidak bertanggungjawab itu dikesan bermula Oktober lalu menerusi siaran langsung di platform media sosial seperti TikTok.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima empat aduan rasmi membabitkan tiga aduan menerusi media sosial serta satu daripada Persatuan Harumanis Perlis berhubung penyalahgunaan nama ikon negeri itu.
“Susulan aduan jualan dalam talian itu, FAMA Perlis bekerjasama dengan Bahagian Regulasi Pasaran FAMA ibu pejabat dan Selangor menyerbu sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 November lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, syarikat itu memasarkan mangga import dari Indonesia menggunakan nama ‘Harumanis dari Perlis’ ketika siaran langsung TikTok sedangkan kotak produk itu jelas dilabel sebagai mangga alpukat Indonesia,” katanya pada sidang media.
Mohd Anzara berkata, wakil syarikat berkenaan gagal mengemukakan bukti buah itu adalah varieti Harumanis, menyebabkan pihaknya mengeluarkan Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP).
Katanya, syarikat terbabit juga diarahkan menurunkan hantaran berkaitan Harumanis serta menggunakan nama produk sebenar mengikut dokumen import dan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) 2008.
“Di peringkat Perlis kita sudah melaksanakan lebih 120 kali pemeriksaan premis sepanjang tahun ini dan turut mengesan penggunaan nama kurang tepat seperti ‘Harumanis Surabaya’.
“Buat masa ini kita mengambil pendekatan advokasi serta memberi teguran menerusi KPP dan rata-rata peniaga akur menukar label.
 Namun, tindakan undang-undang tegas akan diambil sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan ketara antara kedua-dua varieti itu ialah musim pengeluaran utama Harumanis Perlis yang berdaftar di bawah Petunjuk Geografi (GI) berlangsung sekitar Februari hingga Jun.
“Sebaliknya, musim pengeluaran mangga Arumanis (tanpa huruf H) dan mangga alpukat dari Indonesia adalah sekitar Julai hingga November.
Justeru, ada peniaga cuba mengambil kesempatan menggunakan nama Harumanis Perlis di luar musim untuk melariskan jualan.
“FAMA tidak menghalang perdagangan buah import yang sah, tetapi peniaga wajib melabelkan identiti produk, gred dan negara asal dengan tepat seperti ‘Mangga Arumanis Indonesia’ atau ‘Mangga Alpukat Indonesia’ bagi melindungi hak pengguna serta pengusaha tempatan,” katanya.














