KUALA SELANGOR – Pihak yang memecahkan ban di Sungai Buloh yang menjadi salah punca banjir termenung di daerah ini sejak dua minggu lalu telah ditahan polis.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak terbabit telah ditahan beberapa hari lalu setelah laporan berhubung ban pecah itu dibuat.
“Ini kali kedua ban ini pecah oleh pihak terbabit dan hal tersebut telah menyebabkan Kampung Parit Mahang dan kampung sekitar mengalami banjir ketika ini.
“Saya percaya pihak berkuasa akan ambil tindakan undang-undang ke atas pihak ini kerana mereka telah menceroboh tanah kerajaan. Untuk makluman, kawasan yang dibina ban adalah kawasan rizab sungai (milik kerajaan),” katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharaja Lela di sini, malam semalam.
Beliau berkata, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) telah melakukan penampan pada kawasan ban yang pecah dan diharap penampalan ini akan mengurangkan aliran air sungai masuk ke kawasan darat.- KOSMO! ONLINE














