Menakjubkan! Hari pertama MCR ‘pukau’ 62,000 penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lautan manusia membanjiri TM Stadium Nasional apabila seramai 62,000 peminat menghadiri konsert hari pertama My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur, malam ini.

Kali ini anjuran Hello Universe, selepas 19 tahun — kumpulan asal New Jersey, Amerika Syarikat yang dianggotai Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero itu membuatkan satu stadium bergema dengan deretan lagi nostalgia mereka yang disambut suara para peminat. 

Tidak menunggu lama untuk memulakan persembahan, My Chemical Romance (MCR) MCR bukan sekadar mengadakan konsert, tetapi membawa peminat kembali ke zaman mereka membesar dengan lagu-lagu yang pernah menjadi soundtrack kehidupan.

Bagaikan satu penceritan jiwa yang penuh gejolak dan pemberontakan, di atas pentas dipersembahkan sketsa phantom sebelum persembahan dimulakan dengan The End, Dead! This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives pada segmen Medication Time / Anthem. 

Tidak sekadar berdiri dan menyanyi di atas pentas, vokalisnya, Gerard Way, tampil dengan elemen teatrikal tersendiri yang cukup mencuri perhatian. Penampilannya dengan mulut dipenuhi dakwat hitam seolah-olah dirasuk, sekali gus menyuntik aura gelap dan mengangkat suasana emo ke tahap maksimum.

Penonton kemudian terus dihidangkan dengan lagu ikonik, Welcome to the Black Parade, yang mencetuskan sorakan luar biasa. Seluruh stadium bergema dengan nyanyian lebih 62,000 penonton yang menyanyikan lagu tersebut bersama-sama, membuktikan betapa kuatnya pengaruh karya berkenaan dalam kalangan peminat.

Persembahan diteruskan dengan I Don’t Love You sebelum MCR mengubah rentak menerusi House of Wolves yang hadir dengan susunan muzik lebih agresif.

Memasuki segmen A Gift, MCR melantunkan Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchancted, Famous Last Word, The End (Reprise) sebelum diakhiri dengan Blood untuk menoktahkan separuh masa pertama. 

Ada masa Gerard mengeluh dengan cuaca lembab Malaysia. Katanya: “Macam mana nak main dalam keadaan (cuaca) begini.

“Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula tapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami.” 

Selepas berehat seketika pada pertengahan persembahan, MCR kembali menghangatkan pentas menerusi Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady of Sorrows.

Memasuki bahagian kedua, penonton terus dihiburkan dengan rangkaian lagu termasuk SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive, sebelum MCR mengalunkan Helena yang didahului intro lebih panjang. Persembahan diteruskan dengan lagu popular I’m Not Okay (I Promise) dan Demolition Lovers.

Malaysia bertuah apabila MCR memilih untuk membawakan Demolition Lovers, lagu daripada album sulung mereka, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love, yang diterbitkan pada 2002.

Melabuhkan tirai persembahan malam pertama, MCR bakal kembali menggegarkan Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok untuk konsert hari kedua. Pastinya, peminat turut menantikan kemunculan lagu-lagu hit lain yang menjadi antem kumpulan rock alternatif itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN