KEMAMAN – “Sebelum ini, kami hanya membaca di media sosial mengenai kejadian seumpama itu di negeri lain, tidak sangka pula kami berdepan dengan situasi sama dan ada pihak yang mendakwa kejadian ini berkait dengan ilmu hitam.”
Demikian ujar seorang penduduk Kampung Paya Berenjut, di sini, Nurlia Ripin, 45, selepas rumahnya digemparkan dengan kejadian bunyi ketukan misteri yang kuat sejak Isnin lalu.
Kejadian yang berlaku antara pukul 2.30 hingga 3 pagi itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut tular di laman sosial jelas kedengaran bunyi ketukan tersebut.
Antara kawasan yang dilaporkan mengalami kejadian misteri itu ialah Kampung Paya Berenjut, Taman Banggol Indah, Bandar Putra Mak Lagam, Geliga serta beberapa taman perumahan di Chendor, Pahang yang terletak berhampiran sempadan Terengganu-Pahang.
Ujar Nurlia, selain rumahnya, bunyi ketukan misteri itu turut dikesan di kediaman ibunya di Kampung Chendor, Pahang yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan pada hari dan waktu sama.
“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi pada Isnin lalu sehingga menyebabkan ibu dan adik saya tidak dapat tidur berikutan gangguan bunyi bising tersebut.
“Saya ingatkan hanya rumah ibu yang kena, bila saya periksa rakaman CCTV rumah saya, rupa-rupanya kawasan rumah saya turut alami gangguan yang sama, namun saya tidak mendengar bunyi itu kerana saya memasang zikir ketika tidur.
“Saya agak pelik kerana kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Geliga, Syahida Alia Mohamad, 30, berkata, dia yang sedang nyenyak tidur terjaga kira-kira pukul 3 pagi selepas terdengar bunyi ketukan kuat dari luar rumahnya.
“Saya dan suami sangat terkejut dengan bunyi tersebut. Kami tidak berani membuka pintu kerana tiada sebarang suara atau salam kedengaran.
“Pada awalnya, kami hanya menyangka ada orang mengetuk pintu, namun keesokan harinya ada juga jiran bertanya sama ada kami mendengar bunyi tersebut,” katanya.
Berdasarkan rakaman CCTV yang tular, bunyi ketukan kuat jelas kedengaran di sekitar kediaman penduduk, namun tiada kelibat individu atau punca yang dapat dikenal pasti sehingga menimbulkan tanda tanya.














