NEWCASTLE – Pemain sayap Newcastle United, Harvey Barnes memberi amaran kepada bekas rakan sepasukan, Bruno Guimaraes bahawa ‘tiada layanan istimewa’ buatnya pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal di St. James Park hujung minggu ini.
Guimaraes yang meninggalkan pasukan itu secara kontroversi pada jendela perpindahan musim panas lalu akan beraksi buat kali pertama di St. James Park bersama Arsenal dan pemain Brazil itu dijangka berdepan cemuhan penyokong The Magpies.
Barnes yang sedar ‘kepulangan’ Guimaraes ke gelanggang keramat mereka bakal menjadi fokus utama, dia menggesa rakan sepasukan supaya kekal dengan sasaran mereka untuk mengutip tiga mata penting.
“Inilah keistimewaan bola sepak. Ada pemain yang pergi meninggalkan pasukan dan datang semula, tetapi Bruno (Guimaraes) pulang memakai jersi pasukan lain, jadi kami mahu pastikan dia berduka di akhir perlawanan.
“Kami tidak kisah dengan situasi dia ketika ini kerana tugas kami hanya satu, iaitu untuk menampilkan aksi terbaik dan mengutip tiga mata. Saya harap semua pemain sudah bersiap sedia,” katanya.
Sementara itu, dia juga percaya aksi menentang Arsenal merupakan medan terbaik untuk mereka menguji kemampuan sebenar di bawah kendalian Matthias Jaissle selepas kehilangan beberapa pemain penting.
“Sudah tentu perlawanan itu akan menjadi satu aksi penting untuk kami kerana dapat menguji keupayaan menentang pasukan terbaik. Anda semua tahu kami tidak mudah menyerah setiap kali bermain di St. James Park,” ujar Barnes. – AGENSI














