AARON dan Roy King terus membuktikan kemampuan apabila berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong. - AFP

Terbuka Hong Kong: Aaron-Roy King dipaksa ‘mandi peluh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara yang sedang meningkat naik, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan momentum kemenangan apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Kai Tak Arena sebentar tadi, gandingan No.38 dunia itu berdepan tentangan sengit sebelum menang 21-17, 21-14 ke atas pasangan Taiwan, Chu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.

Aaron-Roy King yang masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Kumamoto Masters minggu lalu bagaimanapun tidak berdepan aksi mudah apabila diberikan tentangan sengit beregu lawan yang lebih berpengalaman.

kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan terikat 14-14 di set pertama, sebelum pasangan negara kembali memperkemaskan permainan untuk mengutip mata demi mata, seterusnya menang 21-17.

Memasuki set kedua, skrip sama berulang apabila beregu Taiwan terus memberikan tentangan sengit kepada Aaron-Roy King walaupun dapat mendahului dengan kedudukan mata 9-6 di awal permainan.

Selepas mengutip mata ke-11, beregu negara kemudiannya mula mendapat keyakinan sehingga meletakkan Hsiang Chieh-Chi Lin dalam tekanan sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-14.

Sebagai rekod, Aaron-Roy King berada pada rentak terbaik ketika ini apabila sudah meraih dua gelaran dalam tempoh sebulan selepas memenangi kejohanan Terbuka Arctic dan Kumamoto Masters.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang membenam cabaran pasangan Thailand, Ornnicha Jongsathapornparn-Sabrina Sophita Wedler 21-18, 21-16.

Sementara itu, Wong Ling Ching menjadi wakil tunggal perseorangan wanita negara di Terbuka Hong Kong apabila melangkah ke pusingan kedua selepas menang 16-21, 21-17, 21-15 ke atas Ishika Jaiswal dari Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN