PETALING JAYA- Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 19 hingga 25 November dilaporkan turun sebanyak 15 sen iaitu daripada RM4.87 kepada RM4.72 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, RON95 juga turun sebanyak 15 sen iaitu daripada RM3.87 kepada RM3.72 seliter.
Sementara itu, RON97 juga turun sebanyak 20 sen daripada RM4.20 kepada RM4 seliter.
“Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penurunan dalam tempoh pengiraan APM, seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia.
“Perkembangan ini mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.
“Pada masa sama, jangkaan peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi pergerakan harga petroleum dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, bagaimanapun, bekalan produk
petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan yang boleh mempengaruhi kestabilan harga pasaran.
“Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global.
“Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Kata Kementerian Kewangan, kerajaan kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar Budi Madani.
“Peruntukan hampir RM40 bilion disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun hadapan bagi membantu rakyat mengurangkan tekanan kos sara hidup,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














