KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mengakui sudah mula tidak dapat memberikan sepenuh fokus di dalam gelanggang selepas dua bulan berkelana ke luar negara.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan gandingan No.14 dunia itu mula merasai kepenatan dari segi mental dan fizikal kerana sudah beraksi dalam tujuh kejohanan berturut-turut sejak Kejohanan Badminton Terbuka Arctic 6 Oktober lalu.
Pang Ron berkata, dia kurang berpuas hati dengan aksi dipersembahkan meskipun berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong selepas membenam Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri dari Indonesia 21-14, 22-24, 21-13 hari ini.
“Tidak puas hati sangat hari ini kerana fokus itu sudah semakin kurang. Kami berada di luar negara sudah hampir dua bulan, jadi bukan satu tugas mudah buat saya dan Pei Jing untuk bermain.
“Kami pergi bersendirian tanpa ada pakar fisioterapi ataupun tukang urut. Bagi saya, ini merupakan cabaran terbesar untuk saya selepas meninggalkan pasukan kebangsaan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada aksi pusingan pertama Terbuka Hong Kong hari ini, Pang Ron-Pei Jing tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bermain hingga set ketiga dan memerlukan masa selama 53 minit untuk mencatat kemenangan.
“Penat itu memang ada tetapi kami tidak mahu untuk fikir mengenai perkara negatif. Dalam gelanggang, kami hanya percaya kepada satu sama lain dan jangan mudah mengalah kerana kami sentiasa mahu menang,” ujar Pei Jing.
Menjelang pusingan kedua esok, Pang Ron-Pei Jing tidak berdepan laluan mudah apabila dijadualkan berdepan pilihan kedua kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Mengiringi Pang Ron-Pei Jing ke pusingan kedua adalah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan wakil Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-10, 21-14.
Gandingan profesional, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut melepasi halangan pertama selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-16, 17-21, 21-19 ke atas beregu Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu campuran kebangsaan, Jimmy Wong-Cheng Su Yin apabila tersingkir daripada saingan selepas tewas 22-24, 14-21 kepada pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun. – KOSMO! ONLINE














