KLUANG – Seorang lelaki tanpa pengenalan diri yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Kluang-Paloh, berhampiran Estet Ladang Pamol di sini semalam, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa yang identiti serta usianya belum dikenal pasti itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.38 pagi di Bahagian Trauma dan Kecemasan hospital berkenaan.
Menurutnya, sebelum itu, mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum sepasukan petugas perubatan HEBHK dihubungi untuk mendapatkan bantuan pada pukul 10.04 pagi.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi talian 07-7784222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














