KOTA TINGGI – Tiga daripada tujuh individu yang ditahan berhubung kes pecah masuk premis pajak gadai di daerah ini membabitkan kerugian RM28.4 juta akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini, esok.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada semalam.
“Dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi dituduh mengikut seksyen sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
“Seorang suspek dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah, seorang lagi dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan, manakala dua suspek dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chuan Huat, kesemua tujuh suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga tempatan yang ditahan dalam operasi pada 7 dan 8 November lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Johor turut membuka kertas siasatan terhadap semua suspek mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad pada sidang akhbar 10 November lalu memaklumkan, kes pecah masuk premis pajak gadai itu dipercayai dirancang bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah yang membabitkan pemajakan barang kemas palsu sejak empat hingga lima tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














