Seramai 24 anggota Zeppo Youngsterz meraikan kejayaan muncul juara HARU Dance 2026 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Zeppo Youngsterz juara HARU Dance 2026 di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AIR mata Yap Ru Tong tidak dapat dibendung sebaik sahaja nama kumpulannya, Zeppo Youngsterz diumumkan sebagai juara HARU Dance 2026 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Saat itu menjadi kemuncak kepada segala penat lelah, pengorbanan dan tekanan yang ditanggung kumpulan tersebut sepanjang perjalanan sebelum impian bergelar juara menjadi kenyataan.

Di sebalik kejayaan mengharumkan nama Malaysia itu, tersimpan kisah perjuangan yang bukan sedikit apabila setiap anggota perlu mengorbankan masa dan tenaga demi merealisasikan impian bersama.

Bagi Ru Tong yang merupakan salah seorang penari kumpulan itu, cabaran membahagikan masa antara kerjaya sepenuh masa dengan jadual latihan yang padat bukan sesuatu yang mudah.

Namun, segala pengorbanan itu akhirnya terbayar dengan kejayaan yang diraih.

“Saya rasa sangat terharu apabila Zeppo Youngsterz diumumkan sebagai pemenang kerana banyak yang telah saya korbankan untuk kejayaan ini. Selain soal kewangan, cabaran terbesar saya adalah membahagikan masa antara kerjaya sepenuh masa dengan jadual latihan Zeppo.

“Bukan mudah untuk menggalas kedua-dua tanggungjawab sambil memastikan kualiti kerja sentiasa terjaga. Namun, sepanjang perjalanan ini, saya belajar memahami kemampuan dan batasan diri sendiri serta mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk rekod, Zeppo Youngsterz yang dianggotai 24 penari muncul juara HARU Dance 2026 selepas menewaskan 16 kumpulan dari Korea Selatan, China, Switzerland, Jepun, Vietnam dan Jerman.

Kumpulan itu yang dianggotai anak muda yang masih belajar dan bekerja membuat persiapan selama tiga bulan bagi menghadapi pertandingan antarabangsa berkenaan, termasuk memperkemas koreografi dan menyelaraskan sesi latihan.

Persembahan kemenangan mereka menggunakan konsep yang dibangunkan pengarah Zeppo, Faris Azim dengan koreografer dari Sepanyol, Larkin Poynton, mengetuai pembangunan kreatif serta penyediaan koreografi.

Tarian itu menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan tarian jalanan kontemporari, khususnya hip-hop.

Di sebalik persembahan itu, Larkin mendedahkan karya berkenaan tercetus daripada hubungan persahabatan dan pengalaman sukar yang pernah dilalui bersama Faris.

Menurut Larkin, idea tersebut mula berkembang ketika mereka berbincang mengenai penyertaan dalam HARU Dance 2026 sebelum saling berkongsi pilihan lagu yang akhirnya membantu membentuk naratif persembahan.

“Ilham karya ini datang daripada hubungan, persahabatan dan persefahaman antara kami yang pernah melalui pengalaman sukar.

“Daripada perbualan mengenai pertandingan ini dan perkongsian lagu, kami mula mendapat gambaran jelas tentang cerita yang ingin disampaikan menerusi karya tersebut.

“Karya itu turut mengetengahkan nilai kejujuran, keterbukaan untuk menunjukkan kelemahan diri serta penerimaan terhadap kesukaran hidup yang mampu membentuk seseorang menjadi insan lebih baik,” katanya.

Menariknya, sebahagian besar koreografi itu memerlukan dua penari saling bergantung antara satu sama lain, sekali gus menjadikan kepercayaan dan hubungan emosi sebagai elemen penting dalam persembahan.

Menurut Larkin, karya itu turut membawa mesej bahawa manusia mampu berkembang dan menjadi lebih kuat apabila mempunyai sokongan serta kepercayaan daripada orang sekeliling.

Dalam pada itu, Larkin turut meluahkan rasa bangga terhadap kemampuan anggota Zeppo Youngsterz yang berjaya menghidupkan setiap gerakan dengan penuh penghayatan dan ketelitian.

Malah, dia mengakui tidak dapat menahan air mata setiap kali menonton rakaman latihan kumpulan itu yang dihantar kepadanya setiap minggu.

“Saya bangga dengan kemampuan anggota Zeppo Youngsterz yang berjaya menghidupkan setiap gerakan dengan penuh penghayatan dan ketelitian.

“Saya menangis kerana dapat merasakan betapa mereka mengambil berat antara satu sama lain. Mereka bukan sahaja memahami setiap pergerakan, malah menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap rakan sepasukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsep persembahan tersebut, Faris pula berkata, karya berjudul Two Then One itu mengangkat kisah cinta, hubungan dan kehilangan seseorang yang disayangi.

Menurutnya, persembahan itu menggambarkan perjalanan sesebuah hubungan bermula daripada membina kepercayaan, saling menyokong, berdepan cabaran sehinggalah melalui perpisahan dan belajar meneruskan kehidupan sendirian.

“Konsep persembahan ini menceritakan tentang seseorang yang kehilangan insan tersayang. Kami menggambarkan beberapa fasa dalam sesebuah hubungan, termasuk membina kepercayaan, saling menyokong, menghadapi dugaan dan akhirnya berpisah.

Setiap dua penari Zeppo Youngsterz saling bergantung antara satu sama lain menerusi pergerakan dan sokongan fizikal dalam persembahan Two Then One.

“Sebab itu, kami menggunakan banyak segmen tarian berpasangan sebelum beralih kepada persembahan solo pada penghujungnya bagi melambangkan perpisahan, apabila daripada dua individu, hanya seorang yang tinggal,” katanya.

Faris berkata, karya itu turut memberi peluang kepadanya bekerjasama dengan Larkin bagi menggabungkan gaya pergerakan masing-masing menerusi elemen tarian kontemporari, floorwork dan koreografi berpasangan.

Menyentuh identiti Zeppo Youngsterz, dia menjelaskan kumpulan itu tidak terikat kepada satu genre tarian tertentu, sebaliknya sentiasa terbuka meneroka pendekatan kreatif, penceritaan dan gaya persembahan baharu tanpa mengabaikan identiti mereka.

Faris mengakui menghasilkan persembahan berkenaan antara cabaran paling sukar sepanjang perjalanan seninya, terutama apabila perlu menyatukan penari daripada generasi, latar belakang dan tahap pengalaman berbeza.

Menurutnya, persediaan bermula seawal Januari menerusi sesi latihan dua kali seminggu sebelum kumpulan itu memberikan tumpuan kepada penghasilan karya akhir pada Jun selepas diumumkan sebagai finalis.

“Antara cabaran terbesar adalah memastikan semua penari mempunyai pemahaman yang sama dari segi pergerakan dan nilai artistik persembahan.

“Koreografi ini memerlukan kekuatan fizikal, stamina, koordinasi, kepercayaan dan kemahiran teknikal yang tinggi. Kami juga berdepan kecederaan serta pelbagai cabaran sepanjang proses latihan,” katanya.

Bagaimanapun, Faris berkata, perkara paling penting adalah memastikan setiap penari memahami cerita yang ingin disampaikan dan bukan sekadar menghafal atau melakukan pergerakan yang ditetapkan.

Dia turut berbangga apabila seluruh anggota kumpulan mampu mengharungi cabaran berkenaan bersama-sama sehingga kejayaan di Korea Selatan menjadi hasil perkembangan mereka bukan sahaja sebagai penari, malah sebuah ‘keluarga’.

Mengulas perancangan selepas kemenangan itu, Faris menyasarkan penyertaan Zeppo Youngsterz dalam pertandingan tarian VIBE 2027 yang dijadual berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Februari tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, membawa keseluruhan pasukan ke negara berkenaan memerlukan kos besar merangkumi penerbangan, penginapan, pengangkutan dan persediaan pertandingan.

Sehubungan itu, dia berharap mendapat sokongan penajaan daripada syarikat dan jenama, selain bantuan pembiayaan kerajaan bagi merealisasikan impian tersebut.

“Kami berharap dapat terus mencabar kemampuan diri dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Ini bukan sekadar tentang pertandingan atau kemenangan, tetapi peluang untuk menunjukkan kemampuan penari Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN