Gambar hiasan.

85 lokaliti terjejas ekoran penangguhan PDU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 lokaliti liputan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di kawasan pedalaman Sarawak terjejas susulan penangguhan sementara operasi perkhidmatan itu berikutan insiden nahas helikopter pada September lepas.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu 16 lokaliti dikenal pasti tidak mempunyai akses melalui mod pengangkutan alternatif darat dan air.

“Susulan insiden nahas helikopter di Sarawak, KKM telah menangguhkan sementara operasi PDU bagi membolehkan siasatan serta penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan pengoperasian perkhidmatan dilaksanakan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

KKM menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kawasan yang terjejas susulan pemberhentian sementara khidmat PDU di pedalaman Sarawak, alternatif yang disediakan serta tempoh maksimum bagi pesakit mendapatkan rawatan sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi mengurangkan impak kepada komuniti yang terjejas, KKM berkata, beberapa langkah diambil bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan melalui pengoptimuman laluan darat dan air serta pengaktifan mekanisme rujukan dan pengangkutan alternatif.

Selain itu, keutamaan diberikan kepada lokaliti berdasarkan risiko klinikal, tahap keterpencilan dan ketersediaan akses alternatif.

Bagi kes kecemasan sepanjang tempoh penangguhan sementara operasi PDU, kementerian itu memastikan setiap pesakit diberikan tindakan segera berdasarkan tahap keutamaan klinikal menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan (Medevac) atau mod pengangkutan alternatif yang bersesuaian.

Sehubungan dengan itu, KKM menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain bagi membantu pengendalian kes kecemasan dan memastikan kesinambungan akses kepada rawatan kecemasan bagi penduduk di kawasan pedalaman, dengan mengambil kira keadaan cuaca, keadaan laluan, ketersediaan aset serta aspek keselamatan operasi.

Dalam kejadian 8 September lalu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dan pegawai perubatan terhempas berdekatan Short Tae-Off and Landing Airport (STOLport) Long Lellang.- Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN