Gambar hiasan. - JANAAN AI

Mahsuri Dagang, SEGi College anjur cabaran kulinari cungkil bakat muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – SEGi College Penang dengan kerjasama syarikat pengeluar produk sos dan kicap, Mahsuri Dagang Sdn. Bhd . (Mahsuri) akan menganjurkan pertandingan ‘SEGi x Mahsuri: Malaysian Flavours Culinary Challenge’ sebagai usaha memperkasa bakat kulinari dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan berlangsung di SEGi College Penang itu bakal melibatkan seramai 21 pelajar program Diploma Seni Kulinari dan Sijil Operasi Hotel yang mana mereka berpeluang mempamerkan kemahiran memasak selain kreativiti serta kefahaman terhadap keunikan masakan tempatan.

Menurut wakil Mahsuri Dagang, penganjuran pertandingan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan bakat kulinari muda serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri makanan.

“Malaysia mempunyai warisan kulinari yang kaya dengan kepelbagaian rasa dan budaya. Melalui pertandingan ini, kami ingin menggalakkan generasi cef muda untuk terus meneroka kreativiti dan inovasi dalam masakan tempatan tanpa mengetepikan identiti cita rasa Malaysia.

“Kerjasama bersama SEGi College Penang juga merupakan sebahagian daripada usaha Mahsuri untuk memberi pendedahan industri kepada pelajar.

“Ia khususnya dalam memahami bagaimana produk makanan tempatan boleh diaplikasikan secara kreatif dalam penyediaan hidangan berkualiti komersial,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Melalui pertandingan ini, peserta dicabar menghasilkan satu hidangan utama berinspirasikan masakan Malaysia dengan mengaplikasikan produk Mahsuri sebagai sebahagian daripada ramuan masakan selain mengekalkan identiti dan keaslian cita rasa tempatan.

Setiap pasukan dikehendaki menyediakan hidangan utama yang bukan sahaja kreatif dan berkualiti, malah memenuhi standard persembahan makanan yang bersesuaian untuk restoran serta industri perkhidmatan makanan komersial.

Kata kenyataan itu, selain menguji kemahiran teknikal, pertandingan ini turut memberi penekanan terhadap aspek kreativiti, keseimbangan rasa, persembahan makanan dan keupayaan peserta menghasilkan hidangan berpotensi diperkenalkan dalam industri hospitaliti serta perkhidmatan makanan.

“Penganjuran program ini juga menyediakan platform pembelajaran secara praktikal kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan diperoleh sepanjang pengajian dalam suasana pertandingan yang menyerupai persekitaran industri sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN