Amirul Hakim menunjukkan gambar bapanya yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuh Raya Senai-Desaru awal pagi tadi. FOTO MASTURAH SURADI

Nahas SDE: Sarjan maut dalam perjalanan balik lepas tolong isteri berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

​KOTA TINGGI – Niat murni seorang sarjan polis untuk menjemput isterinya bertukar menjadi tragedi apabila maut dalam kemalangan ketika berkonvoi pulang bersama anak mereka awal pagi tadi.

​Anak mangsa, Amirul Hakim Jorari, 30, berkata ketika kejadian, bapanya, Jorari Jusoh, 58, dalam perjalanan pulang ke Senggarang, Batu Pahat selepas mengambil ibu tirinya, Yuli Helmiyati Mohd Salleh, 51, yang berniaga di tapak festival makanan di Bandar Penawar.

​Menurutnya, bapanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat hadir ke Bandar Penawar sejak Sabtu lalu bagi menemani isterinya berniaga sebelum bertolak pulang kira-kira pukul 12 tengah malam.

​”Semasa kejadian, adik memandu kenderaan Toyota Unser, manakala ayah menaiki Proton X70 bersama ibu dan seorang mak cik. Adik, ibu dan mak cik sudah lama berada di Bandar Penawar sejak Selasa kerana menyertai festival makanan itu selepas menyertai satu acara sama di Pahang.

​”Ayah yang bercuti hujung minggu memang datang ke sana untuk menjemput ibu pulang ke Batu Pahat. Tidak sangka awal pagi tadi kami dikejutkan dengan berita sedih ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

​Mengulas lanjut, Amirul berkata ibu dan mak ciknya kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala adiknya selamat.

​Tambahnya, bapa yang tinggal dua tahun lagi sebelum tamat perkhidmatan polis itu sudah mula merancang masa depan untuk menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan bersama isteri kerana minat mendalam terhadap dunia masakan.

​”Sebab itulah semasa cuti hujung minggu lalu, arwah sanggup ke Bandar Penawar untuk membantu isteri berniaga bakso dan nasi ayam penyet,” katanya.

​Dalam pada itu, bapa saudara kepada seorang lagi mangsa, Nurul Syifa’ Mohd Kasimi, 26, iaitu Khairul Effendi Hamzah, 50, berkata, anak saudaranya itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke tempat kerjanya di Pengerang ketika kejadian berlaku.

​Beliau menerima berita mengejutkan itu daripada bapa kandung mangsa pada pukul 3.15 pagi sebelum bergegas ke Hospital Kota Tinggi bagi menguruskan jenazah.

​”Arwah sempat meluangkan masa berkumpul bersama ahli keluarga sempena cuti Deepavali baru-baru ini. Tiada sebarang perubahan ditunjukkan dan arwah yang masih bujang seorang yang peramah serta disenangi keluarga,” katanya sambil memaklumkan jenazah akan dibawa pulang untuk disemadikan di Kampung Teras Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Terdahulu Kosmo! melaporkan dua maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuh Raya Senai-Desaru awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN