MAWI terharu apabila Syamsul Yusof bersetuju untuk hadir ke konsert sulungnya.

‘Dulu saya pernah sakit, Syamsul yang rukyah di hospital’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Dia memang susah nak keluar. Tapi, alhamdulillah dia dapat bersama saya (di konsert).”

Demikian perkongsian penyanyi Mawi yang meluahkan rasa syukur dan terharu apabila pengarah serta pelakon, Syamsul Yusof sudi meluangkan masa hadir memberikan sokongan padu pada konsert sulungnya yang berlangsung baru-baru ini.

Mawi atau nama lengkapnya Asmawi Ani, 45, berkata, walaupun Syamsul kini lebih selesa mengelakkan diri daripada tampil di tempat awam, kehadiran sutradara itu bermula daripada sesi perbualan panjang lebar yang tidak dijangka.

“Saya tak adalah pujuk tetapi mungkin sebab kami dah lama tak berjumpa. Saya berborak dengan dia selama lima jam, daripada pukul 12 tengah malam sampai pukul 5 pagi.

“Macam-macam perkara kami borak. Cerita mengenai konsert itu pun hanya keluar sekitar pukul 4.45 pagi, dah hujung-hujung perbualan.

“Tapi dia terus bersetuju. Saya bersyukur sangat,” katanya kepada Kosmo! Online usai konsert minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF), semalam.

Lebih bermakna, pelantun lagu Aduh Saliha itu memaklumkan ibu serta ahli keluarga pengarah filem Mat Kilau itu turut hadir bersama memberikan sokongan padu.

“Alhamdulillah saya seronok. Ibu dan keluarga dia turut hadir menonton konsert.

“Terima kasih, Syamsul,” tambahnya.

Dalam masa sama, Mawi turut mengimbau kenangan Syamsul pernah merawat dirinya ketika ditimpa musibah sebelum ini.

“Saya baik dan rapat dengan dia. Ada cerita di sebalik persahabatan kami. Dulu saya pernah sakit dan dialah yang datang merawat saya.

“Perkara itu membuatkan saya rasa yang Syamsul ini dahsyat orangnya. Dia datang hospital, rukyah dan doakan saya.

“Apa yang dibaca dalam filem Munafik sebagai Ustaz Adam, itulah yang dia baca. Saya menangis waktu itu sebab sangat tersentuh dengan apa yang dia buat, dia memang sahabat saya,” jelasnya.

Pada 8 November lalu, konsert The Jpurney Of ‘Mawi World’ menghimpunkan ramai rakan penyanyi yang banyak memberikan sokongan buat Mawi sepanjang bergelar penyanyi.

Selain Syamsul, antara penyanyi jemputan yang turut memeriahkan konsert berkenaan termasuklah Datuk AC Mizal, Felix, Daly Filsuf dan Datuk Aznil Haji Nawawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN