JELEBU – Seekor harimau kumbang jantan dewasa seberat kira-kira 27 kilogram (kg) yang makan ayam ternakan penduduk akhirnya masuk perangkap dipasang di sebuah dusun durian di Kampung Purun, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, haiwan liar berusia antara tiga hingga empat tahun itu masuk perangkap kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan pertama daripada pemilik dusun berkenaan pada 8 Julai lalu selepas ayam ternakannya dipercayai dimakan harimau kumbang.
“Susulan aduan itu, anggota Perhilitan telah menjalankan siasatan di lokasi pada hari sama dan satu perangkap dipasang di kawasan berkenaan pada 27 Oktober lalu dengan menggunakan umpan ayam yang diletakkan oleh pengadu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Wan Mat berkata, pemantauan susulan turut dilakukan pada 8 November lalu sebelum pihaknya menerima panggilan daripada pengadu yang memaklumkan haiwan berkenaan telah masuk perangkap pagi ini.
“Pemeriksaan mendapati harimau kumbang itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius, cuma terdapat sedikit kesan kecederaan lama yang telah sembuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















