WAN ROSDY (empat dari kanan) pada Program Townhall Menteri Besar Pahang bersama Mahasiswa Anak Pahang di PICC hari ini.

Pahang sedia perluas biasiswa Sarjana, PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Pahang bersedia meneliti ruang untuk memperkukuh dan memperluas skim penajaan pendidikan khususnya bagi anak negeri yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu akan dipertimbangkan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri yang terus diperkukuh.

Menurut beliau, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang dan asas penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan menerusi penghasilan lebih ramai tenaga pakar serta golongan profesional.

Katanya, Yayasan Pahang menjadi instrumen utama kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk biasiswa, pinjaman dan geran pendidikan.

“Antara bantuan sedia ada ialah Geran Bantuan Pelajaran Yayasan Pahang yang menyediakan RM700 secara sekali bayar bagi peringkat pra siswazah, manakala RM1,200 bagi pelajar pasca siswazah yang mengikuti pengajian Sarjana dan PhD.

“Kita juga menyediakan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar, Skim Pelajar Cemerlang serta kemudahan pinjaman pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa dalam sesi Townhall Menteri Besar Pahang bersama Mahasiswa Anak Pahang dalam Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan melalui inisiatif IM Pahang Kluster Siswa sebanyak RM400 secara sekali bayar kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara, manakala RM1,000 bagi persediaan pelajar ke luar negara.

Jelasnya, kadar bantuan berkenaan meningkat daripada RM200 pada 2022 kepada RM300 pada 2023 sebelum dinaikkan kepada RM400 bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada bidang profesional dan penyelidikan termasuk perubatan, kejuruteraan, teknologi, pertanian moden serta inovasi.

“Kerajaan negeri mahu melahirkan lebih ramai anak Pahang yang menjadi pakar, profesor, penyelidik dan golongan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.5 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pembangunan dan penaiktarafan kemudahan latihan Pahang Skills sebagai usaha memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dalam kalangan anak muda negeri itu.

Wan Rosdy berkata, TVET merupakan laluan penting untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Menurut beliau, persepsi bahawa pendidikan TVET merupakan pilihan kedua selepas pendidikan akademik perlu diubah kerana bidang berkenaan menawarkan peluang kerjaya serta potensi pendapatan yang baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN