KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia menyemarakkan sambutan Pesta Cahaya menerusi penganjuran Rumah Terbuka Deepavali Mekdi di lima lokasi seluruh negara bagi mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum.
Program itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada orang ramai berkumpul dan meraikan kemeriahan Deepavali bersama keluarga serta rakan-rakan.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penganjuran rumah terbuka itu mencerminkan tradisi masyarakat Malaysia yang menjadikan perayaan sebagai ruang untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.
“Rumah terbuka merupakan antara tradisi yang paling dekat dengan rakyat Malaysia. Kita datang bersama keluarga dan rakan-rakan, menikmati makanan serta meraikan perayaan bersama jiran dan sahabat kita.
“Semangat inilah yang ingin kami hidupkan melalui Rumah Terbuka Deepavali Mekdi supaya masyarakat setempat dapat berkumpul dan berkongsi kegembiraan sambutan ini,” katanya dalam kenyataan.
Sambutan rumah terbuka itu melibatkan McDonald’s Pandu-Lalu Danau Kota, Kuala Lumpur dan McDonald’s Pandu-Lalu Meru Raya, Perak semalam dan diteruskan hari ini di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Caves, Selangor, McDonald’s Pandu-Lalu Greenlane, Pulau Pinang serta McDonald’s Pandu-Lalu Ulu Tiram, Johor.
Setiap lokasi menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan hiburan untuk seisi keluarga selain menawarkan 1,000 set hidangan percuma yang merangkumi Spicy Chicken McDeluxe, Apple Pie dan Coca-Cola Zero.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian serta penampilan artis tempatan termasuk Balan Kash, Arulini Arumugam, Dhilip Varman dan Zubir Khan.
Beliau berkata, pihaknya berharap sambutan berkenaan dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat selain memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai kemeriahan Deepavali bersama-sama.
Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan dan Fasiliti McDonald’s Malaysia, Ir Ts Dr Kumaran Muthu berkata, Deepavali yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan turut membawa makna perkongsian kegembiraan dengan masyarakat sekeliling.
Menurutnya, amalan menjemput jiran, sahabat dan rakan sekerja untuk meraikan perayaan bersama perlu terus dihargai kerana mampu menjalin persahabatan serta mengeratkan hubungan komuniti.
“Di Malaysia, kita biasa menjemput jiran, sahabat dan rakan sekerja untuk meraikan perayaan bersama keluarga kita. Semua dialu-alukan untuk duduk semeja dan menikmati juadah bersama.
“Saya harap kita akan terus menghargai amalan ini. Daripada satu jemputan untuk makan bersama, kita dapat mengenali satu sama lain dengan lebih dekat dan menjalin persahabatan,” katanya ketika berucap di sini.
Beliau berkata, selepas menganjurkan rumah terbuka Deepavali buat kali pertama pada 2025, pihaknya gembira dapat meneruskan tradisi berkenaan menerusi penganjuran di lima lokasi tahun ini.
Tambahnya, McDonald’s Malaysia turut menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun menerusi lebih 380 restoran di seluruh negara, termasuk bekerjasama dengan sekolah dan agensi kerajaan dalam menjayakan inisiatif komuniti.
Selain itu, syarikat berkenaan komited menyokong kanak-kanak dan keluarga menerusi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia yang menyediakan pelbagai bantuan termasuk penginapan keluarga pesakit kanak-kanak, bilik terapi sensori, pembiayaan pembedahan sumbing bibir serta bantuan persekolahan.
Rumah Terbuka Deepavali Mekdi merupakan sebahagian daripada siri sambutan perayaan McDonald’s Malaysia sepanjang tahun ini yang turut merangkumi Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan Kaamatan sebagai usaha menjadikan restoran syarikat itu ruang mesra untuk masyarakat berkumpul dan meraikan kepelbagaian budaya. – KOSMO! ONLINE
















