MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menjadi ‘mangsa’ pertama bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas dipecat kelab berkenaan.
Perkara itu sememangnya sudah diramal selepas The Red Devils menampilkan aksi cukup hambar dalam saingan liga sehingga menyaksikan mereka terperosok ke zon penyingkiran.
Situasi itu memang tidak dijangka memandangkan beliau menjadi penyelamat United pada musim lalu ketika dilantik sebagai pengurus sementara sehingga layak ke Liga Juara-Juara (UCL).
Bagaimanapun, momentum itu gagal diteruskan apabila United hanya mencatat satu kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir selain menghuni tangga ke-18 Liga Perdana.
Kehilangan Carrick mungkin hanya seketika memandangkan United dilaporkan sudah bersetuju untuk mendapatkan khidmat jurulatih skuad Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino.

Difahamkan, The Red Devils perlu membayar AS$10 juta (RM40.78 juta) bagi menebus kontrak pengendali dari Argentina itu yang sepatutnya berakhir selepas Piala Dunia 2030.
Sekiranya semua urusan berjalan lancar, Pochettino mungkin akan diumumkan sebagai pengurus baharu United dalam masa terdekat sebelum aksi bertemu Liverpool 23 November ini.
Terdahulu, pengurus tertinggi United memberi peluang kepada Carrick untuk memperbaiki prestasi selepas tewas 0-2 kepada Chelsea dua minggu lalu.
Bagaimanapun, keputusan seri 4-4 ketika bertemu Aston Villa di Old Trafford Isnin lalu menyebabkan United hilang sabar dan mengambil tindakan memecat beliau. – AGENSI
















