TAMPIN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang tabung Masjid Kampung Seberang Batu Hampar berjumlah RM480 hujung minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Ashabul Kahfi S.M. Salim Vasani, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd. Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang tabung masjid berjumlah RM480 milik Masjid Kampung Seberang Batu Hampar di Rembau kira-kira pukul 2 pagi pada 8 November lalu.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bangunan masjid yang digunakan sebagai tempat ibadah.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya di bawah seksyen sama, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Safia Ahmad memohon supaya kes disebut semula esok bagi membolehkan fakta kes dan hukuman dikemukakan susulan arahan daripada pihak Pendakwaan Negeri (PPN), selain turut menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan ke kadar paling minimum.
Peguam itu memaklumkan anak guamnya bekerja di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan masih bujang.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula esok. – KOSMO! ONLINE
















