SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai pihak berkuasa tempatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM26,000 daripada pemilik sebuah syarikat ‘runner’ atau perantara.
Wang itu dipercayai sebagai balasan untuk membantu dan mempercepat urusan pengeluaran lesen perniagaan serta tidak mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 10.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2019 hingga 2023.
“Dia dipercayai menerima wang rasuah menerusi beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Bernama
















