Sempena sambutan Deepavali, satu program memasak kuih tradisional kaum India, muruku telah diadakan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Menara Maju, Taman Bunga Raya dan Taman Bahagia, Klang, Selangor baru-baru ini.
Muruku merupakan makanan ringan yang berasal dari India Selatan. Namanya diambil daripada perkataan Tamil yang bermaksud ‘dipintal’ merujuk kepada bentuknya.
Kudapan rangup itu biasanya dihasilkan menggunakan tepung beras yang dicampur dengan pelbagai rempah-ratus serta bahan-bahan lain, sebelum diadun sebati dan digoreng hingga garing.
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Klang, Firdaus Sulaiman, program menyediakan muruku yang melibatkan tiga kaum iaitu India, Melayu dan Cina itu membuktikan perbezaan budaya bukanlah penghalang untuk bekerjasama.
“Program ini membolehkan kaum India mengajar orang Melayu dan Cina membuat kuih muruku.
“Semangat kerjasama begini amat digalakkan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di sini, “ katanya.

Sementara itu, bagi wakil penduduk wanita, G. Chandrabhai berkata, program tersebut mendapat sokongan penduduk setempat yang ingin belajar memasak kuih muruku daripada kaum India.
Katanya, dia berbangga kerana semua peserta komited untuk belajar, walaupun cara pembuatannya agak rumit.
“Ini kerana, pengendalian acuan dan doh perlu tepat bagi mendapat bentuk muruku yang diinginkan.
“Pada pemerhatian saya, peserta dalam kalangan orang Melayu dan Cina mampu membuat muruku sebagaimana kaum wanita India.
“Pada hari ini juga, orang muda dan tua sama-sama belajar. Saya berharap program begini dapat diteruskan di tempat lain pula,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi KRT Taman Menara, G. Muniandy memberitahu, dia berasa bangga kerana KRT tersebut berjaya mengadakan program membuat muruku yang menampilkan kerjasama tanpa mengira latar belakang.
Jelasnya, perpaduan yang wujud antara kaum perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi menjamin keharmonian berterusan.
“Walaupun program ini diadakan dengan persediaan yang singkat, namun diadakan dengan jayanya.
“Semangat tolong-menolong dan perkongsian ilmu membuat kuih muruku antara kaum adalah bukti betapa harmoni penduduk di kawasan ini,” ujarnya.
Bagi seorang peserta kaum Melayu, Zetty Ali, program tersebut memberi pengalaman baharu kepada dirinya.
Katanya, dia biasanya hanya menyediakan kuih tradisional Melayu seperti kuih bangkit dan kuih kapit.
Dia memaklumkan, perkara paling menggembirakan adalah mempelajari sendiri cara memasak kuih muruku daripada ‘pakar’ membuat makanan tersebut.
“Terima kasih kepada penganjur yang memberi peluang kepada kami untuk belajar memasak kuih yang popular dalam kalangan masyarakat India semasa Deepavali ini,” katanya sebelum menutup bicara.
















