LUMUT – Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot yang diletakkan di tepi jeti di Pulau Pangkor, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.46 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba dimaklumkan mangsa yang berusia 38 tahun mengalami sawan sebelum terjatuh ke dalam laut. Operasi SAR sedang dijalankan,” katanya hari ini.
Menurut beliau, operasi tersebut melibatkan enam anggota BBP Pulau Pangkor dengan bantuan beberapa buah jentera. – KOSMO! ONLINE















