TUJUH orang maut selepas beberapa gerabak tergelincir dan terjatuh di kawasan cerun berhampiran bandar Giza, Mesir kelmarin. - Getty Images

Kereta api rempuh tren, 7 maut, lebih 123 cedera 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAHERAH – Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban, manakala lebih 112 cedera selepas dua kereta api bertembung berhampiran bandar Giza, Mesir, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 

Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir mengesahkan kemalangan melibatkan dua kereta api yang menuju ke arah selatan dari Giza dan Kaherah, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dan terjatuh di kawasan cerun. 

Imej di lokasi kejadian menunjukkan orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam gerabak yang terbalik ketika operasi menyelamat berskala besar dilancarkan. 

Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi mengarahkan pihak berkuasa untuk ‘menyiasat punca kemalangan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati cuai’. 

Pejabat pendakwa raya turut memberi amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat susulan keadaan sebilangan mangsa yang kritikal.

Kerajaan Mesir memaklumkan beberapa hospital di kawasan berhampiran diletakkan dalam ‘keadaan berjaga-jaga’ bagi menghadapi kemasukan mangsa yang terlalu ramai.

Menteri Kesihatan Mesir, Dr. Khaled Abdel Ghaffar berkata, kebanyakan mangsa sedang menerima rawatan bagi kecederaan di kepala dan patah tulang. 

Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir pula memberikan bantuan kemanusiaan dan sokongan psikologi kepada mangsa serta keluarga mereka di lokasi kejadian.

Seorang pemandu kereta api turut terkorban dalam nahas berkenaan, demikian menurut Kementerian Kesihatan Mesir. 

Siasatan awal mendapati tren yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum melanggar bahagian belakang sebuah lagi tren menuju ke Aswan dari Kaherah yang berhenti di landasan pada ketika itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN