Pelajar program Doktor Perubatan Veterinar UPM, Shubbashni Sayaka di samping ibunya yang berbangsa Jepun dan bapanya yang berketurunan India dari Perak.

Gagal temu duga, gadis kacukan Jepun-India tetap mahu jadi veterinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT mendalam terhadap haiwan sejak kecil menjadi titik permulaan kepada perjalanan Shubbashni Sayaka, 23, dalam mengejar cita-cita bergelar doktor veterinar.

Pelajar tahun kedua Program Doktor Perubatan Veterinar (DVM), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, kecintaannya terhadap haiwan tidak terhad kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing, malah merangkumi pelbagai spesies termasuk ular, ikan serta labah-labah.

Menurutnya, pengalaman menemui anak kucing terbiar atau cedera ketika kecil dan cuba merawatnya sendiri mencetuskan keinginan untuk memahami keperluan haiwan dengan lebih mendalam.

“Tidak semua haiwan yang saya cuba selamatkan berjaya diselamatkan. Pengalaman itu membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana saya boleh membantu mereka dengan cara yang betul.

“Dari situ, saya mula menjadi sukarelawan di pusat perlindungan haiwan, klinik veterinar dan beberapa organisasi lain,” katanya kepada K-Kampus.

Jelasnya, minat tersebut semakin mendalam apabila dia mengetahui penglibatan FPV, UPM dalam usaha bantuan banjir di Hulu Langat menerusi perkhidmatan klinik veterinar bergerak bagi membantu haiwan yang terjejas.

Katanya, pengalaman itu membuka perspektifnya bahawa kerjaya doktor veterinar bukan hanya berkaitan rawatan haiwan tetapi turut memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana.

“Saya mahu menjadi doktor veterinar yang bukan sahaja merawat haiwan tetapi juga mampu menyumbang kepada masyarakat apabila mereka dan haiwan memerlukan bantuan,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut membesar dalam keluarga berlatarbelakangkan dua budaya berbeza apabila ibunya berasal dari Nagoya, Jepun, manakala bapanya seorang berketurunan India dari Perak.

Katanya, kehidupan dalam keluarga berbilang budaya membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih terbuka, mudah menyesuaikan diri dan menghargai perbezaan.

Daripada ibunya, dia banyak mempelajari nilai disiplin, kerja keras dan berdikari, manakala bapanya memperkenalkan sisi budaya India yang lebih ekspresif dan kreatif melalui kehidupan berkeluarga, makanan, muzik serta tradisi.

“Gabungan dua budaya ini mengajar saya bahawa setiap orang mempunyai cara pandang yang berbeza.

“Saya belajar untuk lebih terbuka menerima pandangan dan latar belakang orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, perjalanan untuk memasuki Program DVM bukanlah sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa mengambil masa tambahan setahun bagi menukar bidang pengajian kepada diploma kesihatan haiwan dan penternakan daripada diploma perikanan dan melengkapkan kredit yang diperlukan sebelum layak memohon tatkala menuntut di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dahulu.

Malah, dia turut berdepan kegagalan dalam temu duga pertama untuk mengikuti pengajian DVM atau Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di UPM Serdang, namun pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba sekali lagi.

“Ketika itu, saya melihat rakan-rakan sudah tamat pengajian lebih awal sedangkan saya masih perlu melalui beberapa peringkat untuk mencapai matlamat sendiri.

“Memang ada masanya saya berasa sukar, tetapi saya tahu bidang veterinar ialah apa yang benar-benar saya mahukan.

“Bagi saya, perjalanan setiap orang berbeza. Kadangkala kita mengambil masa lebih panjang daripada orang lain, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu mencapai impian,” katanya.

Pengalaman sepanjang pengajian diploma di UPMS terdahulu turut meninggalkan kesan besar terhadap pembentukan dirinya, khususnya melalui bimbingan seorang pensyarah, Dr. Bura Paul.

Shubbashni menyifatkan pensyarah berkenaan sebagai figura penting yang bukan sahaja berkongsi ilmu, malah sentiasa mendorong pelajar untuk terus belajar daripada kesilapan.

Selain memberi tumpuan kepada pelajaran, Shubbashni yang kini berada di tahun kedua pengajian DVM turut aktif melakukan pelbagai aktiviti luar seperti mendaki, menyertai kelab larian dan pilates, selain melakukan aktiviti herping iaitu aktiviti mencari serta memerhati reptilia dan amfibia di habitat semula jadi.

Baginya, aktiviti tersebut bukan sahaja menjadi ruang untuk berehat daripada kesibukan akademik, malah membuka peluang mengenali individu daripada pelbagai latar belakang serta menambah pengetahuan tentang biodiversiti negara.

Dia turut berpendapat pendidikan tinggi bukan sekadar bertujuan memperoleh kelayakan akademik, tetapi menjadi platform untuk membina kemahiran insaniah dan membentuk peribadi.

Dalam masa sama, gadis ini mengingatkan pelajar agar tidak terlalu terikat dengan persaingan akademik sehingga mengabaikan proses pembelajaran dan perkembangan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN