SANAA – Pihak berkuasa Houthi mendakwa sekurang-kurangnya 33 orang dilaporkan terkorban, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, susulan serangan udara pakatan pimpinan Arab Saudi di wilayah Sanaa, semalam, tatkala konflik perang saudara di Yemen kembali memuncak.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,600 orang terkorban manakala lebih 300,000 lagi kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran kembali meletus di negara itu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi, Anees Alasbahi, menerusi satu kenyataan di platform X mengesahkan angka korban di perkampungan Al-Shariya, timur ibu negara Sanaa, meningkat kepada 33 orang dengan 39 lagi mengalami kecederaan.
“Berdasarkan angka hampir muktamad, mangsa yang terkorban melibatkan 12 lelaki, lapan wanita dan 13 kanak-kanak.
“Manakala seramai 16 lelaki, 10 wanita serta 13 kanak-kanak dilaporkan cedera,” katanya.
Agensi berita Saba melaporkan operasi mencari dan menyelamat di bawah runtuhan masih giat dijalankan, sambil mendakwa pesawat pejuang turut menyasarkan pasukan paramedik dalam dua serangan berasingan.
Saluran televisyen Al-Masirah turut menyiarkan visual kepulan asap tebal di lokasi kejadian, timbunan runtuhan bangunan serta mangsa yang menerima rawatan kecemasan di hospital.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi, yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung laporan serangan tersebut. – AFP
















