KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea berakhir selepas beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir di separuh akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu sebentar tadi, pasangan No.9 dunia itu tewas 17-21, 17-21 kepada wakil tuan rumah, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Turun berdepan pilihan utama kejohanan, pasangan yang diberi julukan ManTee itu bermula cukup baik apabila memimpin set pertama 13-9 sebelum Won Ho-Seung Jae kembali mengejar.
Sebaik sahaja pasukan lawan menyamakan kedudukan 13-13, perlawanan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua beregu saling bertukar servis sebelum gandingan Korea menang 21-17.
Bersambung set kedua, Wei Chong-Kai Wun sekali lagi mendahului permainan 6-2 tetapi gagal untuk mengekalkan rentak konsisten apabila membenarkan Won Ho-Seung Jae kembali bangkit.
Sebaik sahaja kedua-dua beregu terikat 11-11, Won Ho-Seung Jae yang merupakan pasangan No.1 dunia kemudiannya tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata dan mendahului 17-12.
Wei Chong-Kai Wun cuba untuk mengejar dan merapatkan kedudukan, namun terpaksa akur tewas 17-21, sekali gus gagal melangkah ke perlawanan akhir.
Sebagai rekod, pasangan negara kempunan untuk mara ke final buat kali kedua berturut-turut selepas memenangi Terbuka Perancis dua minggu lalu. – KOSMO! ONLINE
















