Mohd Syafiq Syafie menunjukkan gambar ayah bersama ibunya ketika ditemui di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang hari ini. Foto oleh ADNAN IBRAHIM

“Baru 30 minit keluar rumah sebelum tahu ayah, ibu terlibat nahas”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – “Baru 30 minit ayah bersama ibu dan adik keluar dari rumah dan hanya kira-kira 10 minit nak sampai ke lokasi dituju sebelum menerima info mereka terlibat dalam kemalangan”.

Demikian kata, Mohd Syafiq Syafie,32, anak sulong kepada Musa Md Jais, 72, yang meninggal dunia selepas kereta Proton Ertiga dipandunya terlibat dalam kemalangan di kilometer 67, Jalan Kluang- Kota Tinggi berhampiran Ladang Sindora di sini petang semalam.

Turut meninggal dunia dalam kejadian itu adalah adik bongsunya iaitu Nur Alesya Musa,6, manakala ibunya Zilaiha Hanafi,54, serta adik ketiganya Nur Syaliza Musa,28, cedera dibeberapa bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Menurut abang sulong kepada enam adik beradik itu, ayah serta ibu dan dua adiknya itu dalam perjalanan ke Felda Ulu Penggeli dari kediaman mereka di Bandar Sri Impian untuk menziarahi nenek (emak kepada ibunya) serta ibu saudaranya (adik ibunya) selain membawa keropok lekor serta makanan laut yang dibeli di Mersing sebelum ini.

Katanya, selain anak ketiga dan bongsu, turut tinggal bersama ibu dan ayahnya adalah dirinya serta anak kelima namun yang gemar mengikut mereka berjalan-jalan adalah Nur Alesya dan Nur Syaliza manakala anak ke dua bekerja di Kuala Lumpur dan anak ke empat di Brazil.

“Pada masa ini, adik Nur Syaliza yang masih dirawat di Zon Merah HEBHK serta ibu di wad biasa, masih tidak tahu ayah dan adik Nur Alesya sudah meninggal dunia.

“Walaupun ibu yang mengalami kecederaan patah tulang punggung dan sudah dipindahkan ke wad biasa namun kami belum bersedia untuk memaklumkan berita sedih itu kepadanya,”katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mohd Syafiq lagi, adik bongsunya itu telah didaftarkan untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Bandar di Kluang tahun hadapan dan mereka telah bercadang untuk membelikan barang-barang serta pakaian persekolahan pada cuti hujung tahun ini.

Ujarnya, sepanjang berada di rumah ayah dan adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perkara pelik sebagai petanda akan pergi jauh meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya dan tidak menjangka perjalanan ke Felda Ulu Penggeli petang semalam sebagai perjalanan terakhir mereka.

“Proses bedah siasat dijangka selesai tengahari hari ini dan pengkebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Sri Impian sebaik semua proses selesai.

“Saya ingin merayu kepada sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam berkaitan kemalangan kereta ayah di Ladang Sindora petang semalam menyalurkannya kepada pihak polis atau kepada saya di talian 013-7648927 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN