fbpx
BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

OPR kekal 2.75 peratus – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, yang kali kesembilan berturut-turut sejak Julai 2025.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam mesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar berkenaan, dengan pendirian dasar monetari semasa dilihat masih sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan kestabilan harga.

BNM berkata, pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah selaras dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi mampan.

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan keadaan ekonomi dan menilai implikasinya terhadap keseimbangan risiko yang mempengaruhi prospek inflasi serta pertumbuhan domestik,” katanya dalam Kenyataan Dasar Monetari, hari ini.

Tambahnya, petunjuk ekonomi terkini menunjukkan pertumbuhan negara terus kukuh pada suku ketiga 2026, disokong prestasi eksport yang memberangsangkan serta permintaan domestik yang mampan.

Menurut BNM, momentum pertumbuhan yang kukuh itu dijangka membolehkan ekonomi Malaysia berkembang melebihi lima peratus tahun ini, manakala asas ekonomi yang teguh dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada 2027.

Katanya, sektor luaran dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi tahun depan, disokong kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang kukuh.

“Keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan berterusan juga dijangka menyokong permintaan domestik, selain langkah di bawah Belanjawan 2027 yang akan memberi sokongan tambahan kepada penggunaan swasta,” katanya.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan ekonomi masih terdedah kepada risiko penurunan, khususnya konflik berpanjangan di Asia Barat dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.

Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh serta peningkatan aktiviti pelancongan berpotensi menyokong pertumbuhan lebih tinggi.

Mengenai perkembangan harga, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.8 peratus dan 1.9 peratus bagi tempoh tahun ini sehingga kini.

Memasuki 2027, perkembangan geopolitik, harga komoditi global yang tinggi serta keadaan cuaca buruk dijangka memberi tekanan menaik terhadap inflasi.

Sehubungan itu, kedua-dua kadar inflasi dijangka meningkat secara sederhana, namun kekal terkawal berikutan langkah dasar domestik yang berterusan serta keadaan permintaan yang stabil.

Di peringkat global, BNM berkata, pertumbuhan ekonomi terus menunjukkan daya tahan, disokong pelaburan teknologi yang kukuh dan pasaran buruh yang stabil, walaupun inflasi meningkat susulan kos tenaga lebih tinggi.

Bagaimanapun, ketegangan geopolitik berpanjangan, keadaan kewangan global yang lebih ketat, kebimbangan terhadap penilaian pasaran kewangan serta kelemahan fiskal kekal sebagai risiko kepada pertumbuhan dunia.

BNM berkata, MPC akan terus memantau tekanan kos dan keadaan permintaan domestik berikutan pengaruh kedua-dua faktor itu terhadap prospek inflasi negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN