‘Kingmaker’, itu perkataan yang sering kita dengar setiap kali tiba musim pilihan raya, sementelah di dalam atau luar negara. Dari sudut politik, ia bermaksud parti atau gabungan parti politik minoriti, namun mempunyai pengaruh atau kuasa untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan seterusnya.
Dalam mana-mana pilihan raya sekali pun, parti yang berperanan sebagai kingmaker akan menjadi tumpuan serta ‘dipikat’ dengan pelbagai tawaran menarik. Anomalinya, perkara itu tidak berlaku selepas pilihan raya Israel, baru-baru ini.
Pilihan raya umum atau legislatif Israel diadakan pada 27 Oktober lalu bagi membentuk kerajaan baharu dan mengisi 120 kerusi parlimen dinamakan Knesset. Keputusan pilihan raya menyaksikan blok sayap kanan dan sayap kanan ekstrem pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memperoleh 53 kerusi.
Pembangkang yang dipimpin bekas komander tentera Israel, Gadi Eisenkot mendapat 48 kerusi, menyaksikan kedua-dua blok gagal menang majoriti 61 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu. Justeru, kedua-dua blok memerlukan sokongan parti-parti Arab yang keseluruhannya menang 19 kerusi sekali gus berperanan sebagai kingmaker.
Perkara sebaliknya berlaku apabila kedua-dua blok Netanyahu dan Eisenkot enggan berbuat demikian, malah Perdana Menteri itu mahu kemenangan parti-parti Arab dibatalkan, kononnya kerana menerima dana asing untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya,
Jika senario ini berlaku di Barat, ia ibarat blok-blok parti politik yang tidak mendapat majoriti enggan bergabung dengan parti berperanan kingmaker atas sebab perkauman seperti parti itu dilabel parti kulit hitam atau parti Asia.
Eisenkot awal-awal lagi berikrar tidak akan membentuk pakatan dengan parti-parti Arab sekali pun perlu berbuat demikian untuk membolehkannya duduk di kerusi Perdana Menteri, seperti pepatah Inggeris, politics make strange bedfellows.
Namun, kebencian kepada orang Arab mengatasi segala-galanya, tambahan pula, anak lelaki Eisenkot terbunuh di Gaza semasa bertempur dengan pejuang Palestin pada 2023. Dia, malah turut hilang dua anak saudaranya juga dalam pertempuran di Gaza.
Bagi Netanyahu pula, apa yang penting adalah meneruskan agendanya untuk memusnahkan Iran, manakala kekalahan Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump dalam pilihan raya separuh penggal pada minggu ini tidak banyak menjejaskan rancangan itu.
Netanyahu tidak perlu terburu-buru untuk membentuk kerajaan kerana ketika kemelut politik dalaman Israel berterusan, dia kekal pemimpin utama sebagai perdana menteri interim dan membuat keputusan penting untuk Tel Aviv.
Netanyahu juga tidak perlu bimbangkan ancaman kingmaker kerana Eisenkot tidak akan bergabung dengan pakatan parti Arab.
Pemimpin Israel itu boleh untuk tidak membentuk kerajaan kerana dia mempunyai masa setahun untuk mengadakan pilihan raya baharu sekiranya kekosongan tersebut berlarutan.
















