fbpx
Penduduk membersihkan rumah mereka selepas dilanda banjir di Kampung Melayu Subang - SHIDDIEQIIN ZON

‘Baru 6 jam kemas rumah, tenggelam lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tiada apa yang mampu diluahkan penduduk di Kampung Melayu Subang selain reda dengan kejadian banjir yang kerap kali berlaku di kawasan mereka sejak 20 tahun lalu.

Malah, penduduk asal di kampung berkenaan turut mendakwa sudah menghadapi lebih 30 bencana banjir besar, sekali gus menyebabkan ada antara mereka yang mengaku ‘penat’ dengan situasi tersebut.

Seorang penduduk, Wahidah Mohd., 63, berkata, dia sudah menetap di kampung itu sejak 45 tahun lalu selepas berpindah dari Melaka sejurus berkahwin dengan suaminya, Mohd. Nazir Mohd. Kassim, 72.

“Tahun ini sahaja, saya sudah hadap lebih tiga kali banjir. Tahun lepas kalau tidak silap, dua kali juga banjir berlaku.

“Jadi, memang lebih 30 kali jugalah saya hadap banjir sejak tinggal di Kampung Melayu ­Subang ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Merbau, Kampung Melayu Subang, di sini semalam.

Menceritakan kembali kejadian­ banjir yang berlaku awal pagi semalam, Wahidah berkata dia dan keluarganya sedang tidur selepas keletihan membersihkan rumah mereka kesan banjir kilat pada Isnin lalu.

Wahidah menunjukkan tingkap di ruang makan rumahnya yang digunakan untuk menyelamatkan diri daripada banjir di Kampung Melayu Subang semalam.

Katanya, anak bongsu, Muhammad. Alif Mohd. Nazir, 30, kemudian mengejutkannya dari tidur dan memaklumkan air sudah memasuki rumah sekitar pukul 1.30 pagi.

“Air banjir masuk hingga paras leher dengan arus air begitu kuat.

“Kami cuba keluar rumah me­lalui pintu hadapan. Bagaimanapun, pintu tidak boleh dibuka kerana arus air yang terlalu kuat jadi penghalang.

“Akhirnya, kami keluar melalui tingkap di bahagian ruang makan. Saya pegang bahu anak sambil berjalan ke tempat lebih tinggi kerana arus sangat kuat,” katanya.

Wahidah berkata, setiap kali Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara turun ke Kampung Melayu Subang, dia sendiri akan berjumpa secara peribadi agar masalah banjir di kampung itu dapat diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zaid Ismail, 39, berkata, dia sudah memohon kepada Kerajaan Pusat dan ­Selangor untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap bencana yang berlaku.

Sejak tinggal di kampung tersebut pada 2021, dia bersama ahli keluarganya terpaksa me­nempuh siri banjir setiap tahun.

“Banjir kali ini adalah yang kedua paling teruk selepas banjir besar pada 2021. Waktu banjir 2021, paras air dalam rumah mencecah leher.

“Namun banjir awal pagi ini (semalam), air naik sehingga paras bahu,” katanya yang berasal dari Mentakab, Pahang.

Zaid membersihkan perkakas rumah selepas kediamannya dilanda banjir di Kampung Melayu Subang, Shah Alam semalam. – MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Bagi Muhammad Aqil Iqram Rose Safizul, 18, pula, dia sudah berdepan siri banjir di kampung berkenaan sejak bayi memandangkan ibunya, Fatimah Muhammad dan ayahnya, Rose Safizul tinggal di kampung ­berkenaan sejak 19 tahun lalu.

Dakwanya, sisa bahan-bahan binaan yang dibuang berdekatan Sungai Damansara mungkin menjadi punca air banjir lambat surut di kawasan darat.

“Sejak pekerja buang sisa bahan binaan, air semakin lambat mengalir ke Sungai Damansara disebabkan tersekat.

“Macam pagi tadi (semalam), air naik sekitar pukul 12.30 tengah malam dan hanya surut sepenuhnya pukul 6 pagi,” dakwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN