fbpx
ANAK kelahiran Sabah ini bangga dapat mewakili anak muda negara ke persidangan antarabangsa.

Damian bawa suara belia ke pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam dunia yang semakin saling berhubung, suara anak muda tidak seharusnya terbatas kepada lingkungan masyarakat sendiri saja.

Perbezaan latar belakang, budaya dan geografi membolehkan remaja berkongsi pengalaman, memahami perspektif baharu serta mencari pendekatan dalam menangani cabaran bersama.

Bagi seorang anak muda dari Sabah, Damian Lim, peluang untuk berada dalam ruang perbincangan antarabangsa memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan perspektif masyarakat sendiri.

Anak muda kelahiran Lahad Datu itu berpeluang mewakili negara pada persidangan Youth Democracy Summit (YDS) 2026 di Rome, Itali baru-baru ini.

Peluang menyertai persidangan antarabangsa itu bukan sesuatu yang diperoleh setiap hari, khususnya bagi anak muda yang ingin membawa perspektif komuniti sendiri ke peringkat global.

Pemilihan pemuda berusia 24 tahun itu dilakukan menerusi proses permohonan dan penilaian penganjur, sekali gus menjadi satu pencapaian hebat buatnya.

Pada persidangan itu, dia berpeluang bertukar-tukar pandangan dengan delegasi dari pelbagai negara.

Damian bersama delegasi dari pelbagai negara yang menyertai YDS 2026 di Rome, Itali baru-baru ini.

Pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa anak muda dari luar bandar juga mempunyai ruang untuk meneroka peluang antarabangsa dan menyumbang idea dalam perbincangan global.

Berkongsi dengan K-Remaja, Damian yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, dia terpilih sebagai Partially Funded Delegate selepas melalui proses permohonan dan penilaian pihak penganjur.

Persidangan anjuran Center for International Policy and Sustainability (CIPS) itu menghimpunkan belia dari pelbagai negara untuk bertukar-tukar pandangan serta meneroka isu kepimpinan, demokrasi, tadbir urus inklusif dan pembangunan mampan.

Bagi Damian, penyertaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya peluang membawa perspektif belia Malaysia, khususnya dari Sabah ke ruang perbincangan antarabangsa.

“Saya datang dari Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat.

“Saya percaya bahawa kepelbagaian ini bukan sekadar identiti yang kita warisi, tetapi kekuatan yang boleh kita bawa ke meja perbincangan dunia,” katanya membuka bicara.

Selain Damian, lima delegasi lain yang terlibat adalah dari Singapura, Tunisia, Bolivia, Angola dan Britain.

Kehadiran delegasi-delegasi lain memberikan Damian peluang melihat sendiri kepelbagaian perspektif dalam kalangan anak muda di pelbagai negara.

Dalam ruang yang menghimpunkan latar belakang berbeza itu, penyertaannya turut memberi peluang kepada Damian mengetengahkan pengalaman dan pandangan daripada masyarakat Sabah.

Pengalaman dalam kepimpinan mahasiswa serta aktiviti kesukarelawanan dan pembangunan komuniti mendorong minat Damian untuk memahami peranan anak muda dengan lebih mendalam.

Sebelum berangkat ke Itali, dia berharap dapat mempelajari pendekatan berkaitan polisi pengantarabangsaan, membina hubungan diplomatik dan berkongsi pengalaman dari Sabah.

“Kita tidak perlu berasal dari sebuah bandar besar untuk membawa pemikiran yang besar. Saya percaya, idea yang lahir dari Sabah juga mempunyai tempat di pentas dunia,” ujarnya.

DAMIAN merupakan salah seorang Felo Sabah Maju Jaya anjuran Kerajaan Negeri Sabah.

Kongsi Damian, antara pengalaman bermakna sepanjang persidangan adalah peluang berinteraksi dengan delegasi antarabangsa yang mempunyai latar belakang budaya, sistem pendidikan dan pengalaman kepimpinan berbeza.

Perbincangan mengenai kesaksamaan jantina (gender equality) antara perkara yang menarik perhatiannya.

Damian turut didedahkan dengan pandangan tentang kepentingan memastikan setiap individu mempunyai peluang adil untuk menyertai kepimpinan dan proses membuat keputusan tanpa dibatasi stereotaip atau diskriminasi.

Pengalaman itu turut mencetuskan persoalan lebih besar tentang ruang yang diberikan kepada golongan muda dalam masyarakat.

“Kita sering bercakap tentang belia sebagai pemimpin masa depan. Namun, persoalan yang lebih penting adalah sejauh manakah belia diberikan kepercayaan, ruang dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat pada hari ini?” katanya.

Menurut Damian, kesaksamaan bukan bermaksud mengutamakan satu golongan berbanding kumpulan lain, sebaliknya memastikan setiap individu berpeluang mengembangkan potensi, menyuarakan pandangan dan menyumbang dalam kepimpinan.

Dia turut melihat bahawa peranan belia tidak seharusnya terhad kepada menghadiri program atau aktiviti kesukarelawanan.

Anak muda juga perlu diberi peluang menjadi penggerak perubahan, penghubung antara masyarakat dengan pembuat keputusan serta penyumbang idea dalam menangani cabaran semasa.

“Belia bukan hanya perlu berani bersuara, tetapi matang untuk mendengar, memahami dan bertindak,” jelasnya.

Selain kesaksamaan, perbincangan mengenai tadbir urus inklusif (inclusive governance) telah membuka perspektif baharu buat Damian tentang makna penyertaan masyarakat dalam proses membuat keputusan.

Menerusi aktiviti berkumpulan, dia bersama delegasi lain berbincang mengenai halangan yang mengehadkan penyertaan masyarakat, langkah penyelesaian dan peranan pihak berkepentingan dalam membentuk tadbir urus lebih terbuka.

Baginya, penglibatan belia tidak sepatutnya diukur melalui jumlah penyertaan dalam sesuatu program semata-mata, sebaliknya sejauh mana pandangan mereka dipertimbangkan.

“Demokrasi bukan hanya tentang siapa yang mempunyai suara, tetapi tentang siapa diberikan ruang untuk didengari.

“Penyertaan yang bermakna berlaku apabila pandangan seseorang bukan sahaja diterima, malah dipertimbangkan dalam sesuatu keputusan,” katanya.

Sebagai anak Sabah yang membesar dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, Damian melihat kepelbagaian sebagai kekuatan untuk membina persefahaman dan masyarakat lebih harmoni.

Penyertaan dalam persidangan itu turut memberi pendedahan kepada Damian tentang komunikasi rentas budaya, penyampaian idea secara ringkas dan berkesan, pemikiran kritis serta kerjasama dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

Antara pengajaran penting yang dibawa pulang Damian adalah keperluan mendengar sebelum memberikan pandangan dan memahami sesuatu isu dari perspektif berbeza.

“Apabila kita berada dalam satu ruang bersama anak muda dari pelbagai negara, kita mula menyedari bahawa dunia mempunyai cabaran berbeza, tetapi banyak harapan yang sama.

“Kita semua mahu melihat masyarakat yang lebih baik, peluang yang lebih adil dan generasi muda mempunyai masa depan,” ujarnya.

Damian berharap pengalaman itu dapat dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan kepimpinan belia, pendidikan dan kesukarelawanan di Sabah.

Jelasnya, dia juga berhasrat untuk meneroka sesi dialog serta aktiviti komuniti secara kecil-kecilan bersama persatuan belia atau institusi pendidikan yang berminat.

Antara idea yang ingin diteroka adalah memberi peluang kepada peserta mengenal pasti keperluan setempat seperti akses maklumat pendidikan atau kegiatan kesukarelawanan, sebelum merancang aktiviti.

“Cadangan itu masih di peringkat awal dan bakal diusahakan secara berperingkat.

“Saya tidak mahu kisah ini hanya tentang seorang anak Sabah yang berjaya sampai ke Rome.

“Saya mahu kisah ini menjadi peringatan bahawa lebih ramai anak Sabah juga mampu melangkah lebih jauh, sekiranya diberikan peluang, keberanian dan sokongan untuk mencuba,” katanya.

Bagi Damian, pengalaman antarabangsa itu membawa makna lebih besar apabila ilmu dan perspektif yang diperoleh dapat dikongsi semula dengan masyarakat.

“Dari Sabah, kita belajar tentang akar dan identiti. Di pentas dunia, kita belajar tentang perspektif dan kemungkinan. Namun, apabila kembali ke tanah air, kita harus membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna daripada pengalaman, iaitu kesediaan untuk berbakti,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN