SHAH ALAM – Penduduk Kampung Melayu Subang berdepan detik cemas sewaktu menyelamatkan diri dalam arus air deras dalam bencana banjir yang berlaku di sini petang kelmarin.
Menurut mereka, sepanjang 19 tahun tinggal di situ, ini merupakan kali pertama penduduk berdepan arus air deras biarpun kawasan itu kerap dinaiki air ekoran hujan lebat sebelum ini.
Seorang mangsa, Fatimah Muhammad, 43, berkata, dia berdepan detik tersebut selepas air banjir naik ke paras dada di rumahnya di Jalan Merbau, di sini.
“Hujan lebat pukul 3 petang. Tapi air naik sangat cepat. Dalam tempoh sejam, air sudah naik hingga ke paras dada.
“Apa yang lebih menakutkan, arus air sangat kuat. Takut air naik lebih tinggi, saya dan dua anak, Nur Izzati Maisarah Rose Safizul, 15 dan Muhammad Shafiq Syakir Safizul, 13 berjalan ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, di sini semalam.
Ujarnya, ini kejadian kedua banjir paling teruk dialaminya selepas insiden bah besar yang melanda Selangor pada tahun 2021.
“Untuk tahun ini, ini kali keempat banjir berlaku di Kampung Melayu Subang. Kali pertama banjir berlaku pada tahun ini adalah ketika hari raya Aidilfitri, Mac lalu yang hanya mencacah paras paha,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi mangsa, Intan Nur Hidayah, 38, berkata, dia dan keluarga berdepan detik cemas selepas hujan lebat kelmarin menyebabkan air naik mendadak dalam masa 10 minit
Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga mereka tidak sempat mengalihkan kenderaan ke tempat lebih selamat, selain beberapa perabot di dalam rumah turut rosak akibat ditenggelami air.
Ujarnya hujan selama kira-kira sejam lebih bermula pukul 2 petang sebelum paras air mula meningkat dengan cepat sekitar pukul 4 petang.
“Mak saya sempat tengok keadaan di luar dan pada mulanya nampak macam tiada apa-apa. Tetapi selepas masuk ke dalam rumah dan terlelap seketika, tidak sampai 10 minit air sudah naik.
“Kereta pun tidak sempat dialihkan. Air naik terlalu cepat dan terus tinggi,” katanya.
Katanya, keadaan banjir kali ini juga berbeza berbanding kejadian sebelum ini apabila air yang memasuki kawasan kediaman dipercayai bukan berpunca daripada limpahan sungai.
Sebaliknya, air hujan dari kawasan lain dipercayai mengalir ke kawasan berkenaan sebelum bertakung sehingga menyebabkan beberapa kediaman dinaiki air.
Lebih mengejutkan, dua almari yang menyimpan pinggan mangkuk di rumah ibunya turut tumbang ketika ahli keluarga sedang berehat pada malam kejadian.
“Memang banyak barang rosak. Dua almari pinggan mangkuk di rumah mak saya tumbang sekitar pukul 1 pagi dan kami terpaksa mengemas serta mengalihkan barang-barang yang masih boleh diselamatkan.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Taufiq Iman, 35, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM10,000 akibat bah semalam.
Ujarnya, antara perkakas rumahnya yang rosak akibat bencana tersebut adalah peti sejuk, sofa dan mesin basuh.
Situasi sama turut dialami seorang mangsa banjir, Yaman Buyar, 69, apabila rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang.
Kata warga emas itu, dia diselamatkan oleh seorang penduduk kampung yang menggunakan perahu.
“Syukur ada penduduk yang bantu. Kalau tidak, saya tidak tahu apa yang berlaku pada saya.
“Saya tidak kuat untuk berjalan menyelamatkan diri. Arus banjir memang kuat,” katanya yang tinggal di kampung itu lebih 20 tahun lalu.
Yaman berkata, arus banjir sangat deras dan ini kali pertama dia mengalami kejadian berkenaan.
Hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat yang berlaku di Kampung Melayu Subang petang kelmarin menyebabkan kawasan terbabit dilanda banjir.
Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan yang direkodkan petang semalam di kawasan tersebut adalah sekitar 116.5 milimeter (mm).
Jumlah tersebut adalah bersamaan purata untuk tempoh dua ke tiga hari.
Seramai 789 penduduk daripada 325 keluarga terjejas akibat kejadian banjir kilat susulan hujan lebat di Kampung Melayu Subang kelmarin.















