PUTRAJAYA – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara diberi peluang mengemukakan secara terus permohonan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal sekolah masing-masing kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2027.
Permohonan itu boleh dibuat melalui saluran khas yang dibuka selama sebulan bermula 1 hingga 30 November ini yang mana PIBG boleh menyenaraikan keperluan pembaikan prasarana sekolah masing-masing untuk dipertimbangkan kementerian.
KPM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan pengumuman peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM2 bilion, iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding peruntukan sebelumnya.
Menurut KPM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani Kelima pada 9 Oktober lalu turut mengumumkan peruntukan berkenaan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini.
“Sehubungan itu, KPM telah menyediakan saluran khas kepada PIBG untuk mengemukakan secara terus permohonan keperluan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal sekolah bagi tahun 2027.
“Permohonan dibuka selama sebulan, mulai 1 hingga 30 November 2026, melalui pautan dan kod QR yang disediakan,” katanya hari ini.
Sebelum ini, pada 30 Ogos lalu, Anwar mengumumkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2027 sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau turut meminta KPM menggerakkan usaha turun padang ke setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana sekolah.
Bagaimanapun, KPM menegaskan pembukaan saluran khas itu tidak bermaksud setiap permohonan yang dikemukakan akan diluluskan secara automatik.
Sebaliknya, setiap cadangan perlu berasaskan keperluan sebenar dengan memberi keutamaan kepada kerosakan kritikal serta perkara yang membabitkan risiko keselamatan murid dan warga sekolah.
KPM berharap kemudahan berkenaan dapat memudahkan PIBG mengemukakan permohonan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah masing-masing secara terus kepada kementerian. – KOSMO! ONLINE
















