BATU PAHAT – Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas terlibat kemalangan dihempap sebuah lori dalam kejadian di Kampung Bukit Sri Wangi, Jalan Yong Peng di sini tengah hari tadi.
Mangsa Mohd. Hardi Mohd. Husin, 46, dan isteri Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Alif Halim berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 12.24 tengah hari sebelum sebuah jentera FRT bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
“Pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 30 tahun mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Alza dan isterinya berusia 46 dan 40 tahun tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) juga mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun turut berada dalam Perodua Alza, namun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Menurut Mohamad Alif lagi, PKO kemudiannya bertindak menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas namun pemandu lelaki dan isterinya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Ujarnya, mangsa yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal dan diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis. – KOSMO! ONLINE
















