fbpx
Sebuah kedai makan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh menutup operasi bagi mengelak kerugian pada musim tengkujuh. – TOREK SULONG

Peniaga Bisikan Bayu ‘angkat kaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Hampir 30 peniaga di pesisir Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini, mengambil langkah awal de­ngan mengosongkan gerai ma­sing-masing bagi mengelakkan kerugian berulang menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula baru-baru ini.

Seorang peniaga makanan, Rahimah Mat Hassan, 35, berkata, meskipun keadaan laut ketika ini masih kelihatan tenang, mereka tidak boleh mengambil mudah ancaman ombak besar dan angin kencang yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Menurutnya, pengalaman berdepan MTL tahun lalu masih segar dalam ingatan apabila beberapa gerai peniaga mengalami kerosakan teruk, malah ada yang roboh dan di­hanyutkan ke dalam laut.

“Kerusi dan meja hanyut ke dalam laut, manakala zink bumbung diterbangkan angin. Ada juga dua atau tiga buah warung yang roboh akibat ­dibadai ombak.

“Jadi, tahun ini kami perlu bertindak lebih awal untuk mengelakkan kerugian yang sama berulang, lebih-lebih lagi ketika hujung tahun jumlah pengunjung dan pemancing yang datang ke pantai ini semakin berkurangan,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di Pantai Bisikan Bayu semalam mendapati, kebanyakan peniaga tidak membuka perniagaan masing-masing, malah sisa runtuhan bangunan dan kedai rosak akibat bencana MTL tahun lalu masih kelihatan di sepanjang pesisir pantai.

Seorang penduduk, Ismail Mamat, 44, berkata, hanya enam buah rumah masih di­diami penduduk di sepanjang pesisir Pantai Bisikan Bayu hingga Pantai Pecahakan.

Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan itu sentiasa berdepan risiko ombak besar menghempas kediaman, terutama ketika air laut pasang besar.

“Kami hanya menunggu dan melihat keadaan tanpa membuat persediaan besar kerana di sinilah tempat tinggal kami. Jika keadaan semakin ter­desak, kami akan berpindah ke rumah waris terdekat atau ke pusat pemindahan sementara yang dibuka.

“Ancaman utama kami bukan banjir, tetapi ombak besar yang boleh menghempas dan merosakkan rumah,” katanya.

Menurutnya, sebuah rumah di kawasan itu roboh akibat dibadai ombak tahun lalu, manakala pada tahun sebe­lumnya sebuah restoran dan kilang keropok turut musnah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN