Media Mulia Sdn. Bhd. sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.
Langkah ini diambil susulan perubahan landskap industri media yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital. Pada masa sama, syarikat tetap komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak untuk pembaca yang masih setia mengikutinya.
Langkah rasionalisasi ini akan melibatkan hampir 100 kakitangan dalam Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme).
Program ini bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia dan keupayaan syarikat untuk memberi penekanan kepada kandungan digital, platform penyampaian berita yang lebih berkualiti dan efektif serta kemampanan perniagaan syarikat untuk masa hadapan.
Media Mulia ingin menegaskan bahawa langkah rasionalisasi ini akan terus mengekalkan identiti dan legasi jenama Utusan Malaysia serta Kosmo!. Keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan dan kredibiliti kedua-dua jenama ini akan terus dipelihara.
Pengurusan sedia ada telah menyelamatkan kedua-dua jenama ini setelah pemilik terdahulu menamatkan operasi pada 2019.
Justeru, penyesuaian strategik perlu demi memastikan kelangsungan kedua-dua jenama dan organisasi ini supaya tidak berulang nasib sama seperti sebelumnya.
Syarikat tetap komited menjaga kebajikan serta hak kakitangan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Langkah transformasi ini perlu dilaksanakan bagi menjamin masa depan jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!
Fokus akan terus diberikan dalam menghasilkan konten editorial yang lebih berkualiti, berwibawa dan dipercayai.
Abd. Wahid Idris
Pengarah / Ketua Pegawai Kewangan
Media Mulia Sdn. Bhd.
















