FIKIRAN Miza, 30, (bukan nama sebenar) terganggu dengan dilema yang dia hadapi. Keadaan Miza tidak ubah bagaikan hendak ditelan mati emak, di luah mati bapa.
Benarlah kata orang, alam rumah tangga mempunyai cabarannya yang tersendiri dan jika tidak kuat menahan badai itu kita pasti akan tewas.
Jika orang lain diuji dengan perangai suami yang jelik, berbeza pula dengan Miza yang terpaksa berdepan kerenah buruk ibu mertuanya.
“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab.
“Sebaliknya, saya diuji dengan perangai ibu mertua yang suka mengumpat hal orang lain termasuk anak menantunya sendiri,” ceritanya memulakan bicara kepada Panorama.
Terang Miza, dia rasa berdosa dan rimas mendengar perkara buruk yang diceritakan oleh ibu mertuanya apatah lagi di bulan Ramadan.
Sebagai contoh, jika ibu mertuanya berjumpa menantu A, dia akan memburukkan menantu B dan begitulah seterusnya.
Tergamak sungguh ibu mertuanya itu menceritakan keburukan anak menantu sehingga pernah berlaku pertelingkahan antara mereka.
Miza tidak pasti kenapa ibu mertuanya berperangai demikian, adakah kerana bosan tinggal keseorangan di kampung atau itu sudah menjadi tabiatnya.
“Masalah ini menjadi semakin parah apabila ibu mertua telah tinggal bersama kami sejak awal tahun lalu.
“Oleh itu, saya terpaksa mendengar cerita-cerita umpatan itu hampir setiap hari walaupun di bulan Ramadan.

– GAMBAR HIASAN
“Ketika bulan Ramadan kita sepatutnya menghindari dosa lidah itu, tetapi sukar untuk saya bebas daripada mendengar umpatan,” luahnya sambil mengeluh panjang.
Tambah Miza, ibu mertuanya itu tidaklah terlalu jahat bahkan dia seorang yang menjaga solat dan suka mengaji tetapi tabiat mengumpat tersebut menyebabkan anak serta menantu berasa tidak selesa.
Wanita kelahiran Pantai Timur itu memberitahu, dia juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa umpatan ibu mertuanya apabila dia bertemu menantu yang lain.
“Jika dahulu saya hanya berjumpa dia setiap kali pulang ke kampung tetapi sekarang setiap hari perlu melayan kerenahnya.
“Kalau tidak dilayankan dia bercerita nanti dikatakan menantu kurang ajar pula tetapi jika saya mengiakan apa yang dikatakan risau pula berdosa,” ujarnya yang telah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.
Perkara tersebut membuatkan Miza berada di dalam dilema, jika hendak diluahkan kepada suami risau akan memburukkan keadaan.
Lagipun Miza tidak mahu membebankan fikiran suaminya dengan perkara tersebut. Ditambah lagi dengan bebanan kerja yang terpaksa dipikul.
“Suami saya satu-satunya anak lelaki daripada lima beradik dan dia sangat rapat dengan ibu mertua.
“Sudah pasti dia tidak mahu mendengar kata-kata buruk mengenai ibunya dan saya pula tidak mahu membebankan fikiran dia dengan perkara sebegini,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Akuinya, situasi itu terlalu sukar kerana dia yang merupakan suri rumah terpaksa berdepan kerenah ibu mertua 24 jam sehari.
Miza hanya mampu berdoa agar ibu mertuanya itu berubah sikap dan menginsafi perbuatan buruk itu.














