BATU GAJAH – Seorang lelaki lembam yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Batu 8 kelmarin ditemui selamat di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu 7 di Tanjung Tualang di sini hari ini .
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, dijumpai oleh orang awam yang melihat pemuda tersebut melambai tangan di tepi jalan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada pukul 8 pagi tadi dengan melakukan pertukaran anggota bertugas di lokasi.
“Pegawai operasi menerima maklumat daripada penduduk yang memaklumkan mengenai kehadiran mangsa di sebuah rumah kerana yang mahu menumpang mandi.
”Pada mulanya penduduk tidak dapat mengecam individu yang berada di rumah tersebut merupakan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang.
“Sebaik dia mengecam pemuda tersebut, mangsa telah pun menghilangkan diri dan masuk semula ke kawasan hutan bersebelahan ladang sawit,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pada pukul 3.37 petang, pemuda tersebut berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam yang terlihat mangsa melambai tangan meminta pertolongan di tepi jalan.
Sbarodzi berkata, orang awam tersebut segera menghubungi pasukan penyelamat dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat berhampiran kawasan ladang sawit berhadapan SK Batu 7.
“Jarak lokasi mangsa ditemui dan rumahnya dianggarkan 1.2 kilometer,” katanya.
Pemuda itu diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi mendapatkan rawatan berkaitan penyakit asma yang dihidapinya. – KOSMO! ONLINE
















