PETALING JAYA – Stesen Meteorologi Kuala Krai, Kelantan mencatatkan suhu maksimum tertinggi semalam.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), stesen tersebut mencatatkan suhu tertinggi dengan bacaan 35 darjah Celsius diikuti oleh Stesen Meteorologi Lubuk Merbau, Perak dengan bacaan 35.6 darjah Celsius.
“Mengenai taburan hujan harian pula, Stesen Meteorologi Langkawi, Kedah mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi iaitu sebanyak 29.8 milimeter (mm) diikuti oleh Stesen Meteorologi Kuala Krai, Kelantan dengan bacaan 27.8 mm,” katanya di sini hari ini.
MetMalaysia turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan rancang aktiviti harian.
Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan terdapat empat negeri yang dikenakan amaran ribut petir tengah hari ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah iaitu di Langkawi, manakala amaran sama juga dikeluarkan bagi seluruh kawasan di Pulau Pinang.
“Selain itu, amaran sama dikeluarkan bagi negeri Perak melibatkan daerah Kerian, Selama, Larut Matang dan Manjung,” katanya.
Katanya, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka berlaku di Pahang iaitu di Rompin dan Pekan. – KOSMO! ONLINE
















