PETALING JAYA – Juara bertahan, S. Sivasangari mara ke separuh akhir acara perseorangan wanita skuasy Sukan Asia 2026 selepas menewaskan wakil Hong Kong, Ho Tze Lok di Arena Nagoya Kinjo Futo, Jepun, hari ini.
Pemain nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk melangkah ke kelompok empat terbaik selepas mencatat kemenangan straight set 11-8, 11-7, 11-8 di Nagoya Kinjo Futo Arena.
Kini, Sivasangari berpeluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi 2022 di China apabila bertemu seorang lagi wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk.
Sin Yuk terlebih dahulu menyingkirkan wakil negara, Aira Azman, menerusi pertarungan empat set 10-12, 11-9, 11-5, 11-9.
Dalam acara beregu campuran pula, gandingan C. Ameeshenraj-Rachel Arnold turut memastikan tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Oh Seojin-Heo Mingyeong, 11-8, 11-9.
Namun, satu lagi pasangan negara, Syafiq Kamal-Aifa Azman, terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Hong Kong, Lee Ka Yi-Tang Ming Hong, 7-11, 5-11. – KOSMO! ONLINE
















