ELYSIANA (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama warga PPD Beluran, guru-guru dan pelajar pada Pameran Seni SMK Simpangan Paitan di Beluran kelmarin.

Lukisan diejek rakan dibida RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebuah lukisan yang mengisahkan kehidupan keluarga seorang pelajar lelaki tingkatan empat tanpa bekalan elektrik berjaya terjual pada harga RM1,000.

Karya itu merupakan antara lebih 15 lukisan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan Paitan, Beluran, Sabah yang berjaya dijual pada pameran seni dan platform media sosialnya dengan nilai keseluruhan RM5,000.

Guru Pendidikan Seni, Elysia­na Jemaslin, 32, berkata, lukisan lantai buluh dan pelita itu merupakan gambaran sebenar kehidupan pelajar terbabit yang tinggal pedalaman.

Beliau mengambil inisiatif menjual karya seni itu apabila mendapati sebahagian pelajar­nya memiliki bakat seni, namun kurang mendapat penghargaan termasuk mengadu kepada keluarga kerana menganggap seni tidak mempunyai nilai.

“Saya mahu mereka berasa dihargai. Mereka mempunyai bakat dan saya mahu membuktikan seni itu ada nilai apabila diletakkan di tempat yang betul. Saya memperkenalkan karya mereka menerusi TikTok dan pelajar terbabit turut berkongsi cerita di sebalik karya yang dihasilkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Elysiana, beliau tidak menetapkan harga, sebaliknya pembeli sendiri yang menilai sebelum bidaan dibuka. Wang tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pelajar.

Antara karya pelajar tingkatan empat dari SMK Simpangan Paitan berjaya terjual pada harga yang tinggi.

Antara karya lain yang mendapat perhatian adalah lukisan bertajuk Hidangan untuk Mama, apabila pelajar terbabit meluahkan impiannya untuk membeli udang dan ketam untuk dibawa pulang kepada ibunya.

Jelas graduan Ijazah Seni dan Sarjana Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, inisiatif yang dilakukannya berjaya membangkitkan semangat pelajarnya untuk mempamerkan bakat masing-masing dalam bidang seni.

“Ada juga pelajar yang sebelum ini mengejek lukisan rakan berasa terkejut kerana karya tersebut menjadi antara yang termahal dibida. Mereka mula faham bahawa kecantikan sesuatu lukisan itu berbeza bagi setiap individu,” katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Seni di UPSI.

Paling menggembirakan, katanya, pelajar yang sebelum ini tidak pernah menghantar lukisan untuk pameran mula bertanya tentang pameran seterusnya.

Usaha itu turut menunjukkan perkembangan positif apabila 18 daripada 20 calon Pendidikan Seni Visual (PSV) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A.

Pameran bertemakan Tell Me Your Story yang diadakan di sekolah itu kelmarin berjaya mengetengahkan kisah keluarga, impian, pengalaman hidup, cita-cita dan realiti kehidupan pelajar pedalaman menerusi karya masing-masing.

Program itu turut mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Ne­geri Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN