Masih ingat drama bersiri fenomena awal 90-an Siapa bunuh Alice? Drama ikonik itulah yang penulis terimbau apabila melihat kini semakin banyak drama bergenre teka-teki, lagi-lagi yang bersifat misteri.
Selain cerita tentang penyondol yang buat penonton ‘melekat’ kerana sakit hati, drama-drama yang mengundang persoalan ‘siapa’ itu juga antara yang mengundang ramai untuk menonton di layar kaca hingga ke hujung episod.
Siapa sebenarnya pembunuh, siapa sebenarnya yang jadi skandal, siapa sebenarnya anak si polan, semuanya mengundang tanda tanya penonton sehingga ramai yang turut serta melakukan ‘penyiasatan’.
Itulah keseronokan drama-drama jenis begini lagi-lagi pula semacam yang menjanjikan ‘plot twist’. Semakin rancaklah penonton membuat andaian yang di luar jangkaan.
Tambah pula sekarang ini zaman media sosial, perbincangan menjadi lebih jelas apabila di platform seperti Threads ramai yang membuka ‘kertas siasatan’ berkongsi tekaan.
Tidak seperti zaman dahulu yang paling-paling misteri itu berlegar dibincangkan sesama ahli keluarga, jiran atau kawan-kawan sekolah mahupun sekerja.
Begitulah bila zaman berubah.
Kehangatan drama genre teka-teki ini mula dirasai mutakhir ini bermula dengan drama bersiri popular Good Boys Go To Heaven yang disiarkan sekitar Mei lalu sehinggalah drama terbaharu yang sedang bersiaran Sumpahan Mencintai.
Berbalik kepada drama Siapa bunuh Alice, penulis rasa itulah drama ‘teka-teki’ paling berjaya di zaman itu. Tak silap penulis, pada masa itu ia menjadi fenomena luar biasa apabila masyarakat Malaysia bagai diselubungi misteri siapakah sebenarnya pembunuh Alice lakonan aktres Alice Voon.
Alice Voon adalah artis wanita bukan Melayu popular pada masa itu.
Lebih menarik, apabila pelakon-pelakon dalam siri ini juga dikhabarkan tidak mengetahui siapa pembunuh Alice kerana didakwa tidak menerima skrip lengkap.
Pada Mei hingga Jun lalu, penonton Malaysia kembali dihangatkan dengan drama genre teka-teki fenomena Good Boys Go To Heaven yang membuatkan netizen turut sama mahu merungkai siapa pembunuh kanak-kanak lelaki bernama Ahyan yang mati secara tragis dan dikaitkan elemen seksual.
Ada yang teka bapa dia, ibu dia, ustaz dia, janitor sekolah dia, rupa-rupanya bapa kepada kawan Ahyan yang langsung tidak dijangka.
Kemudian, pada Jun lalu, drama Ikatan Terlarang juga menyajikan teka-teki siapa sebenarnya wanita yang menjadi skandal kepada suami Azura lakonan Erysha Emyra yang akhirnya terjawab adalah sahabat baiknya sendiri lakonan Mawar Rashid yang sebenarnya berdendam untuk menghancurkan keluarga Azura setelah mengetahui rupanya pembunuh bapa kandungnya ialah bapa angkatnya iaitu bapa Azura.
Selepas itu, bermula Julai lalu, drama Kasih Yang Terkorban turut membuat penonton berteka-teki antara watak Johan dan Aiman siapa sebenarnya anak kepada pasangan Johari dan Mariana lakonan Johan As’ari dan Fasha Sandha.
Kini, orang ramai terus berteka-teki siapa dua penculik dan pembunuh bersiri misteri dalam drama Sumpahan Mencintai yang sedang bersiaran.
Selain popular kerana runut bunyi nyanyian penyanyi sensasi masa kini, Hussain, ramai juga yang ‘terjebak’ drama itu kerana mahu sama-sama ‘menyiasat’ siapa dua pembunuh kejam itu.
















