KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga pelakon yang terlibat dalam pementasan teater pada 2018 susulan penularan semula video yang didakwa mempersendakan Rukun Negara baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seorang lelaki dan dua wanita itu ditahan bagi membantu siasatan di sekitar Selangor dan Johor beberapa hari lalu.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan direkodkan dan pemeriksaan ke atas peralatan serta gajet selesai dilakukan.
“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, tiga orang telah ditahan untuk siasatan lanjut dan diberikan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
“Seorang (pelakon) telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 3.0 di Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Kumar, tiga individu tersebut berusia 28, 29, dan 47 tahun, manakala pengarah pementasan teater yang merupakan warga United Kingdom pula sudah tidak lagi berada di negara ini.
Katanya, siasatan mendapati pementasan selama 10 minit itu berlangsung secara tertutup di Penang Performing Arts Centre, Pulau Pinang pada 2018.
Jelas beliau, ketika pementasan berlangsung lapan tahun lalu, perkara tersebut tidak tular dan pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenainya.
Bagaimanapun, rakaman tersebut kembali tersebar di media sosial baru-baru ini dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Laporan pertama mengenai video itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 18 September lalu.
Kumar berkata, pemeriksaan ke atas telefon bimbit dan gajet milik tiga pelakon yang ditahan juga tidak menemukan sebarang kandungan berkaitan pementasan tersebut.
“Kita sedang mengesan individu yang menularkan video itu. Kita mahu melihat antaranya alamat IP dan perkara tersebut masih dalam siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut.- KOSMO! ONLINE
















