fbpx
NORHAFAIZA menunjukkan surat pengesahan berkaitan masalah kesihatan dialaminya di Taman Batu Hitam, Kuantan, semalam.

‘Penglihatan sema­kin gelap, tak kenal siapa datang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang wanita yang berdepan tujuh masalah kesihatan benar-benar berharap agar penglihatannya pulih se­perti sebelum ini agar dia dapat bekerja mencari rezeki semula.

Menurut Norhafaiza Taib, 48, dia kini mengalami tujuh masalah kesihatan termasuk rabun kronik tahap lima, buah pinggang tahap empat, strok, diabetes, lemah jantung dan masalah paru-paru yang menjejaskan keadaan fizikalnya.

Dia yang pernah berkhidmat di belakang tabir di sebuah ste­sen televisyen swasta selama 13 tahun berkata, masalah penglihatannya mula merosot ketika dia mengikuti liputan di laut sekitar Terengganu Jun tahun lalu.

“Ketika itu saya sedang be­kerja, tiba-tiba mata mula bermasalah hingga penglihatan terjejas.

“Doktor beritahu keadaan itu dipercayai berkaitan masalah saraf mata selain tekanan darah tinggi dan diabetes yang saya alami,” katanya di Taman Batu Hitam, di sini semalam.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, selepas masalah ke­sihatan dan penglihatan semakin teruk, dia terpaksa berhenti kerja.

“Sekarang penglihatan sema­kin gelap dan saya hanya mampu nampak bentuk atau perbezaan warna tertentu.

“Kalau orang datang, kadang-kadang saya tidak tahu siapa. Saya hanya kenal melalui suara. Ekoran itu, saya perlu menelan 16 biji ubat sehari,” katanya.

Norhafaiza berkata, dia pernah menjalani rawatan termasuk laser dan suntikan pada mata, namun keadaan penglihatannya masih tidak juga pulih.

Tambahnya, doktor turut menjelaskan terdapat risiko terhadap penglihatannya sekiranya prosedur tertentu diteruskan, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan berkenaan.

“Saya bukan minta orang tanggung semua penyakit saya. Kalau ada yang boleh bantu untuk ­rawatan mata, itu sudah cukup.

“Saya cuma mahu nampak semula supaya boleh bekerja dan cari rezeki macam dulu,” ujarnya.

Katanya, walaupun me­nerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), namun bantuan itu tidak mencukupi untuk kos rawatan dan menanggung keperluan harian.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank 15605000041459 atas nama Norhafaiza Taib atau menghubunginya di talian 014-509 0842.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN